Friday, May 21, 2010

Komersial vs. Premium.

Assalamualaikum wbt.

Bila kita mahu beli makanan untuk kucing kita, apa benda yang kita cari sebenarnya?

Jenama? Kesesuaian? Kesedapan? Harga?

Jadi, apa yang penting untuk dilihat pada satu-satu jenama atau label makanan kucing?

Rujuk gambar di bawah:


Begitu banyak pilihan makanan kucing di zaman kini. Pelbagai "claim" yang dibuat untuk melakukan produk masing-masing.



Perisa? Tambahan kandungan membuatkan sesuatu makanan kucing lebih istimewa. Betulkah?


Kami mungkin akan disaman dek entri yang kami tulis ini, tapi kerana kesihatan dan kebahagiaan si comel lebih diutamakan, kami akan beranikan diri kerana benar.

Ini bukan isu yang baru sebenarnya, tapi masih ramai yang tak tahu apa bezanya makanan komersial dan premium, terutamanya yang makanan kucing. Diskusi kami di sini lebih kepada makanan kucing kering ataupun 'biskut'.

Makanan komersial adalah makanan haiwan yang senang ditemui di pasar-pasar raya dan banyak diiklankan di TV. Tetapi, makanan premium hanya terdapat di pet shop dan  klinik haiwan serta tak diiklankan di TV.

Dari segi nutrisi, sememangnya makanan premium adalah jauh lebih baik sebabnya ia dibuat dengan bahan-bahan yang asli dan selalunya tanpa atau kurang pengawet. 

Makanan komersial diperbuat dari by-products seperti hati, limpa, dan sebagainya. Oleh itu, pengawet diperlukan supaya tahan lebih lama. Pengawet yang selalu digunakan adalah garam magnesium.

Dari segi harga, tentunya makanan komersial lebih murah dan mampu dibeli oleh ramai berbanding premium yang ada diantaranya namapak seperti berkos tinggi. Tetapi, dari segi ekonomikal, mereka hampir sama.

Kami membandingkan makanan haiwan untuk menentukan yang mana lebih ekonomi dengan mengira kos sehari makanan tersebut. 

Sebagai contoh, jika kita ada kucing yang berat 3kg. makanan komersial yang kami namakan sebagai 'W', memerlukan kita memberi kucing itu, 80g sehari. Harga yangg kami dapat ialah RM15.80 untuk 1.4kg. Oleh itu sehari kosnya adalah RM0.90/hari. 

Manakala, makanan premium 'I', sehari kucing seberat 3kg hanya memerlukan 50g, harga yg saya dapat RM68 untuk 3.63kg. Maka kos seharinya RM0.94/hari. Tak jauh berbeza, kan?

 Kalau kita menyediakan pasir atau cat litter untuk kucing , makanan premium lebih ekonomikal. Ini kerana hanya 15% daripada makanan dikumuh menjadi tinja.

 Berbanding, makanan komersial menjana sebanyak 40% tinja. Oleh itu, makanan premium menjimatkan penggunaan pasir kucing dan najisnya kurang berbau.

Dari segi kesihatan, makanan premium amnya tiada kesan sampingan, tetapi makan komersial, disebabkan kandungan garam yang tinggi. 

Lama kelamaan akan membuatkan kucing kita terutama yang jantan menghidap batu karang. Kencingnya tak lawas dan berdarah. Keadaan sebegini jika berlarutan selama lebih 3 hari boleh membahayakan nyawa kucing tersebut.

Selain itu, respon yang kami kerap terima apabila pemilik menukar dari makanan komersial ke premium, "kucing kami tidak menyukai makanan baru. Mereka kurang makan, tak seperti makan makanan dahulu, 'laju' sahaja."

Ini penjelasannya; makanan komersial tidak 'mampat' dengan nutrisi serta ia juga ditambah dengan bahan aditif perasa, yang membuatkan kucing 'ketagih'. Ia seolah makanan ringan seperti keropok, yang suka dimakan dan diambil dengan kadar banyak baru mengenyangkan.

Ini kontra dengan situasi makanan premium, yang diformulasi untuk menjadi 'padat' dengan nutrisi. Lembapan juga dikurangkan untuk penghadaman optimum dan najis yang minimum.

Oleh itu, apabila kucing memakannya, mereka mudah kenyang. Inilah sebabnya amaun yang dicadangkan diberi kepada kucing untuk sehari adalah kurang berbanding makanan komersial.

Semoga dengan info yang kami coretkan ini, kita semua dapat menilai manakah makanan yang terbaik untuk kucing kesayangan kita.