Assalamualaikum semua dan salam aidilfitri.
Semenjak menyambut Hari Raya, saya tidak sempat untuk menulis kerana terlalu sibuk dengan urusan klinik dan Hari Raya. Maaf untuk itu.Oleh itu, hari ini saya ingin membawakan satu kisah yang boleh kita kongsikan bersama.
Si Capek
Namaku Capek. Itupun setelah aku dijumpai oleh 2 orang wanita prihatin yang membawaku pulang kerana sedih dan kesian melihat keadaanku begini.
Berhari-hari sebelum itu, aku hidup melarat. Merayau-rayau menjadi rutin harianku. Apa lagi yang boleh aku buat untuk mendapat secebis makanan mengisi perut yang saban hari kelaparan? Aku merayau bukan di atas kerelaanku sepenuhnya, inilah caranya aku mendapat makanan.
Entah bagaimana suatu hari aku dilanggar. Peritnya tak terkata, aku mengiau pun bukan dihirau, lalu aku menahan kesakitan sendirian. Rutin harianku tetap berjalan seperti biasa cuma kali ini aku terpaksa terhincut2 ke sana ke mari. Kekadang aku terdengar orang memanggilku Si Tempang.
Setelah beberapa lama, kurasakan kakiku yang dilanggar tidak sakit lagi. Tetapi, aku masih tidak dapat menggunakannya seperti biasa. Terpaksa aku menyeretnya untuk menjalankan rutin harian seperti biasa. Namun, tak lama selepas itu, aku rasa pedih. Rupanya kaki yang kuheret luka terseret. Apakan dayaku, kini aku telah cacat.
Mujur aku ditakdirkan bertemu dengan 2 orang wanita ini. Lantas aku dibawa pulang, dibersihkan dan dirawat. Rupanya badan aku yang gatal2 selama ini adalah kerana aku dijangkiti kurap. Setelah aku disuntik, baru hilang semua gatal2 itu. Agak selesa aku rasakan, namun kaki hadapanku yang kanan masih perit. Dapat aku rasakan kulitnya makin tiada dan mula menampakkan isi dan tulang.
Apa yang kudengar, kakiku yang patah itu tidak dapat diselamatkan, harus dibuang dan aku akan menjadi si kaki tiga. Tidak mengapalah jika itu akan membuatku lebih selesa. Dengan itu, beberapa hari sebelum Aidilfitri, aku dengan rasminya menjadi si kaki tiga. Pada mulanya, kekok benar apabila terpaksa mengimbangi diri dan berjalan tanpa kaki keempatku. Namun lama kelamaan aku boleh membiasakan diri. Nyata lebih selesa. Tiada kepedihan lagi.
Selera makanku bertambah. Hidupku lebih tenang di sini walaupun aku rasakan ada yang tak kena pada diriku. Badanku kurus walaupun makanan yang diberikan tak pernah cukup. Luka jahitan pula lambat pulih. Apa yang tak kena? Satu hari aku terdengar berita yang menakutkan. Aku disyaki menghidap Feline HIV.
Berapa lamakah lagi nyawaku? Adakah aku berpeluang untuk sembuh? Aku rasa hanya tuhan yang tahu....
Si capek selepas surgeri dan bahagian kakinya yang terpaksa 'dibuang'.
Begitulah kisah Si Capek yang pada hari ini masih dalam rawatan. Marilah sama2 kita berdoa supaya Si Capek cepat sembuh. Semoga doa2 kita dimakbul Tuhan. Amin.