Thursday, February 6, 2014

Ingat 4 Perkara Sebelum Memandulkan Kucing.


Bismillah.

Alhamdulillah berpeluang menulis atikel terbaru setelah sekian lama kami menyepi.

Syukur juga kerana dapat menyiapkan ebook pertama kami yang akan dilancarkan tidak lama lagi, bertajuk " 7 Langkah Ohsem Kawal Bajet Kucing ".

Mari kita berbalik kepada tajuk artikel ini.

***************************************************************************************

4 Perkara Yang Mesti Diingat Sebelum Memandulkan Kucing.

Perkataan lain bagi mandul ialah kasi.

Beberapa aspek penting sebelum memandulkan kucing ini kami tekankan agar, pemilik kucing tidak mengalami 'kerugian' besar.

Kerugian ini bermaksud, kucing mati selepas pembedahan pemandulan akibat tidak mengambil langkah berjaga-jaga, atau dengan kata lain pencegahan.

=======
K.A.S.I
=======

4 perkara tersebut ialah;

K --> Kutu

Memastikan kucing adalah bebas kutu sebelum pemandulan adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kematian selepas pembedahan. Kutu yang mahu diberikan perhatian di sini ialah pinjal atau fleas.

Serangga penghisap darah ini bukan sahaja menjadikan kucing 'kekeringan' darah, malah berisiko mendapat jangkitan lain seperti kuman parasit darah, virus bahaya dan cacing pita.

Ketiga-tiga penyakit bawaan kutu di atas boleh mengurangkan lagi darah kucing di mana kuman parasit darah menyebabkan pecahnya sel darah merah, virus bahaya seperti Leukemia virus mengganggu fungsi normal buah pinggang dan cacing pita juga menghisap darah.

A --> Antibodi

Seperti ibu mengandung yang diwajibkan mengambil vaksin tetanus untuk mencegah penyakit kancing gigi selepas bersalin, kucing yang ingin dimandulkan wajib divaksinkan untuk mengelakkan penyakit berbahaya selepas pemandulan.

Paling tidak pun kucing divaksinkan dengan vaksin core, 4 dalam 1 secara lengkap mengikut umur dan rejim produk vaksin tersebut sekurang-kurangnya 10 hari sebelum dimandulkan. Paling elok ialah 14 hari sebelum prosedur.

Vaksin memerlukan masa untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi. Maka, pada hari ke-10 selepas vaksinasi, badan kucing sudah mula mempunyai antibodi yang cukup bagi melawan jangkitan akan datang.

S --> Sihat

Kucing yang ingin dimandulkan mestilah sihat tubuh badan serta mempunyai berat badan dan kondisi badan yang optimum.

Dengan kata lain, kucing tersebut hendaklah bebas selsema, tiada cirit birit teruk, tidak mengalami masalah pernafasan, bebas sakit mata, juga makan dan aktif seperti biasa.

Kucing yang sihat bermakna ia kucing yang kurang stres. Kucing yang kurang stres mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat jangkit selepas pembedahan juga survivalitinya lebih tinggi.

I --> Ingin

Secara puratanya, kucing mempunyai keinginan mengawan apabila menjangkau umur 6 bulan.
seeloknya kucing dimandulkan sebelum mencapai umur 6 bulan atau sebelum mempunyai keinginan mengawan buat pertama kalinya.

Menurut kajian, kucing betina yang dimandulkan sebelum pertama kali biang mempunyai risiko rendah untuk menghidap kanser kelenjar susu, jangkitan rahim dn kanser rahim.

Memandulkan kucing jantan sebelum pertama kali miang pula, akan mengurangkan risiko mereka daripada mempunyai tabiat kencing merata-rata untuk menanda teritori. Peluang untuk menghilangkan tabiat ini hanya 50% jika memandulkan kucing jantan yang sudah dewasa.

=======
Kesimpulan
=======

Semua pembedahan mempunyai risiko. Apa yang penting adalah mengurangkan risiko tersebut agar peluang survival kucing meningkat.

4 perkara di atas akan meningkatkan peluang survival kucing semasa dan selepas pembedahan.

Kami telah beberapa kali berjumpa kes kematian kucing selepas pembedahan akibat jangkitan virus seperti Panleucopeniavirus yang langkah pecegahannya cukup mudah. Hanya vaksinkan, imunisasikan atau beri pelalian.






******************************************************************************************

In shaa Allah. Sampai di sini sahaja nukilan kami kali ini.

Berjumpa kita lagi di masa akan datang untuk topik seterusnya yang juga agak penting mengenai penjagaan kucing 'dalam pantang'.

Wallahua'lam. Wassalam.


P/S: Mohon kongsi dan sebarkan artikel ini jika kalian rasa ia bermanfaat dan baik. Terima kasih kami dahulukan. =)