Friday, August 16, 2013

Pengalaman Beraya Dengan Kucing Klien



Assalamualiakum wbt.

Selamat hari Raya Aidilfitri buat semua ummat Muhammad.

Taqabalallahu minkum.

Seperti ramai yang sedia maklum, Raya ini kami menyediakan perkhidmatan Professional Pet Sitting Raya. Kami menjaga kucing klien di rumah klien, bukannya di premis kami.

Maka, dengan itu kami timba pelbagai pengalaman menarik. Antaranya, mengesan punca kucing normal cirit-birit.

Berikut adalah ulangan perkongsian kami di wall Fb page Honey Pet Shoppe pada 13 Ogos lepas.

-------------------

Dari tugasan ini, banyak perkara kami pelajari dan lalui. Yang paling berharga ialah, kami dapat kesan aspek-aspek yang boleh diperbaiki oleh klien untuk mengurangkan perbelanjaan maintenance kucing-kucing mereka.

Kami juga dapat mengesan beberapa perkara yang tak dapat dikesan jika klien bawa kucing ke klinik.

Contohnya, kucing cirit birit, najis lembik padahal ubat cacing diberi ikut jadual, makanan yang diberi juga premium. Kucing pula telah divaksin dan tiada tanda-tanda alergi pada saluran penghadaman.

Antara sebab kucing cirit dalam kes ini ialah kerana terlebih makan, overfeeding. Kami pun catu makanan mereka, dari menggunakan autofeeder kepada amaun yang cukup untuk seekor/ hari.


Ini adalah Carta Skor Najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Carta ini boleh digunakan untuk merujuk tahap kesihatan penghadaman haiwan kita serta tahap kualiti makanan yang diberi.


Alhamdulillah, keesokannya apabila kami datang, semua najis dalam bentuk yang sempurna. Keras, berwarna gelap dan berbentuk silinder memanjang.

Kesimpulannya, perbelanjaan pada makanan kucing yang premium dapat dikurangkan melalui pemberian mengikut amaun yang dicadangkan. Wang lebihan itu bolehlah digunakan untuk situasi kecemasan apabila mereka sakit tak terduga.

-------------------

Antara perkara lain yang kami dapati ialah, perubahan tingkah laku kucing apabila di rumah sendiri yang begitu berbeza jika ke klinik.

Contoh kes dapat dilihat dalam video ini;


Kucing ini jika di klinik, ia agak garang dan kurang beri kerjasama kepada kami. Tetapi, lihat sahaja aksinya di rumah sendiri. Boleh bermanjaan sebegitu.

Kami pernah wadkan beberapa hari atas masalah kesihatan dan kehilangan selera makan yang mendadak. Walaupun pemiliknya telah memaklumkan bahawa, Tom hanya mahu makan di tangan. Namun, setelah 3 hari percubaan dibuat, barulah dia mahu makan. Itupun di tangan sahaja.

Sepanjang kunjungan kami setiap hari ke rumahnya sepanjang peninggalan pemiliknya, dia hanya makan habis di tangan 3 hari pertama. Pada hari-hari seterusnya, kami tak perlu letak makanan atas tangan, dia akan habiskan yang di dalam mangkuknya.

-----------------

Kucing memang haiwan yang sensitif. Sensitif kepada perubahan kecil yang akhirnya mengakibatkan stres. Stres itu pula mengakibatkannya tidak selera makan, imuniti badan mula menurun dan monyok.

Bagi kucing, 3 hari tidak menelan makanan langsung boleh mengakibatkan kerosakan hati. Situasi ini juga dikenali sebagai hepatic lipidosis.

Apa yang pasti, kami gembira melihat mereka gembira semasa ditinggalkan di rumah sendiri. Walaupun, ada diantara mereka yang tak memunculkan dan menonjolkan diri ketika kehadiran kami, tetapi kami pasti mereka makan, minum dan aktif seperti biasa.

Setiap kali kunjungan, kami akan sedaya upaya update pemilik mereka tentang keadaan mereka. Hampir setiap kali kunjungan, kami akan rakamkan foto kenangan.

Berikut adalah antara foto kenangan tersebut;


 Dua sekawan yang jarang berenggang. Kami respek pemiliknya kerana sangat teliti dalam persediaan kucing mereka sebelum peninggalan mereka ke kampung.


Si kenit ini hari pertama cirit-birit. Alhamdulillah, setelah dicatu makannya, najis kembali normal. Cuma kami perlu pekakkan telinga dengan bisingnya meminta ditambah lagi.


Mereka ini diberi makanan yang dikatakan holistik dan premium. Namun, 'hasilnya' (najis) tidak membuktikan sedemikian. In shaa Allah, pemiliknya akan beralih kepada makanan yang lebih baik.


Ini Felix. Rumahnya cantik dan luas sehinggakan kami tak jumpa satu dari kawannya yang asyik bersembunyi ketika kehadiran kami. Kami telah tukarkan bekas air mereka kepada yang lebih besar, agar mereka cukup air minuman, memandangkan kami hanya datang sekali sehari sahaja.



Chummy bahagia duduk di dalam hammock di rumah sendiri. Jika ke klinik, dia biasanya ketakutan. Sebelum ini, dia selalu mengalami masalah sakit mata, apatah lagi setelah balik boarding.

Kami harap, semua klien yang telah mendapatkan khidmat Pet Sitting kami sepanjang Raya berpuasa hati dengan jagaan kami. Semalam merupakan hari terakhir kami bertugas menjalankan Pet Sitting sempena Raya.

In shaa Allah, sebarang respon yang baik kami terima dengan hati terbuka. Begitu juga yang kurang baik, untuk kami perbaiki di masa akan datang.

Sekian sahaja kali ini. Semoga berjumpa lagi di entri berikutnya.

=====