Thursday, June 27, 2013

Cat Sitting vs. Cat Boarding


Assalam WBT semua warga pencinta haiwan terutama kucing.

Dengan lafaz Bismillah, kami mulakan nukilan kali ini yang menekankan tentang kebaikan servis Cat Sitting berbanding Cat Boarding.

Apa itu servis Cat Sitting?

Servis Cat Sitting ini, konsepnya seakan servis babysitting ala Mat Salleh. Di mana seseorang penjaga diupah untuk berada di rumah pemilik kucing sendiri, bagi menjaga keperluan makan, minum dan kebersihan kucing dalam tempoh tertentu.

Di negara barat, Pet Sitter tidak hanya terhad menjaga kucing dan anjing, tetapi juga ikan, serta haiwan peliharaan lain.


Di negara barat, pekhidmatan Pet Sitting adalah sangat terkenal sehinggakan mereka menubuhkan persatuan Pet Sitters International, yang dianggotai oleh penjaga/ personale yang profesional dan terlatih.

Kata Kunci;
  • Di rumah pemilik itu sendiri
  • Penjaga upahan yang dipercayai
  • Keperluan kucing disediakan pemilik sendiri

Penjaga upahan akan datang sekali sehari atau lebih, bagi memastikan kucing-kucing jagaan berada di dalam keadaan cukup makan, minum dan bersih.

Apa kelebihannya yang utama?

  • Kucing tidak terlampau stres - kerana persekitaran yang familiar
  • Rutin pemakanan dan harian tidak terganggu
  • Trauma perjalanan dielakkan buat kedua-duanya, haiwan dan pemilik
  • Risiko terdedah kepada jangkitan penyakit adalah minima
  • Penjagaan di dalam rumah pemilik sendiri yang lebih memberi ketenangan kepada pemilik.

Kucing-kucing ini tidak ditempatkan di dalam satu bilik atau sangkar yang sempit, berkongsi dengan kucing-kucing kepunyaan pemilik lain. Mungkin lebih penjimatan buat pemilik kucing terutama yang mempunyai banyak kucing.

Kucing tidak stres sebelum, sedang dan selepas tempoh penjagaan, kerana tidak perlu dibawa menaiki kereta ke tempat penjaga dan balik ke rumah.

Apa yang membelenggu pemilik kucing jika mengambil servis ini?

Berdasarkan soalselidik yang kami telah lakukan, berikut adalah perkara yang mungkin membelenggu pemikian pemilik kucing, jika mereka mendapatkan servis Cat Sitting ini:

  • Keselamatan harta benda dan di rumah
  • Integriti penjaga yang diupah
  • Kemungkinan kucing mereka didera oleh penjaga
  • Servis yang tidak mencapai standard yang baik
  • Penjaga yang tidak terlatih, tiada kredibiliti serta kurang dipercayai
Sejujurnya, kami di HVC pernah menawarkan servis ini. Kerana pada masa itu, kami rasakan kucing-kucing Cikpuan S (nama tidak akan didedahkan kerana belum ada keizinan) akan bertambah stres dan sakit, jika dihantar ke Cat Boarding.

Dr Johaimi dan Dr Nurul sedang memberi ubat kepada kucing yang dijaga di rumah pemilik kucing itu sendiri, sepanjang peninggalan pemilik.

Lagipula, kucing-kucing yang selsema memerlukan ubatan diberi setiap hari. Cikpuan S bimbang jika penjaga di tempat boarding tidak tahu atau tidak berdisiplin memberikan kucingnya ubatan yang sepatutnya.

Apa yang kami peroleh sepanjang melakukan servis ini ialah kami dapat mengesan beberapa isu penting dalam penjagaan kucing di rumah. Dan dapat memberikan penyelesaiannya setelah pemilik pulang dari merantau.

Alhamdulillah, kami rasa puas hati kerana pengalaman tersebut merupakan situasi menang-menang buat kedua belah pihak. Kami update kepada Cikpuan S tentang perkembangan kucingnya setiap hari melalui telefon dan facebook.

Yang seronoknya, kami dapat mengenal karakter setiap ekor kucing dengan lebih baik apabila mengendalikan mereka di rumah mereka sendiri, berbanding di klinik.

Kucing yang sedang Dr. nurul pegang ini sangat pemalu. Di klinik, kami agak sukar mengendalikannya. Tetapi, di rumahnya sendiri segalanya lebih mudah.

Ada diantara mereka yang hanya malu-malu dengan kami pada hari pertama sahaja. Dan ada juga yang tidak takut langsung, serta sangat mesra dengan kami. Tak seperti jika mereka ke klinik mendapat rawatan sebelumnya.

Beberapa klien HVC sekarang, terutama yang banyak kucing memberikan maklumbalas yang sangat baik mengenai perkhidmatan ini. Apa yang penting bagi mereka ialah, kucing kurang stres dan tidak mudah ditimpa sakit sepanjang peninggalan meteka.

Ya, sudah tentu, apa yang lebih penting?
Kerjasama diantara pemilik dan pemberi khidmat servis Cat Sitting ini.

Di pihak pemilik, ada beberapa perkara perlu disediakan. Contohnya;
  •  Tempahan awal supaya mudah penjaga mengatur jadual mereka - sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum peninggalan (outstation)
  • Menyediakan segala keperluan di satu tempat yang mudah dicapai oleh penjaga/ Cat Sitter
Ini adalah contoh di mana bekalan keperluan haiwan disediakan kemas setempat dam mudah diakses. Elok sekiranya ditempatkan di ruang berpintu agar haiwan tak mudah menyelongkar dan menyelerakkannya.

  • Menyediakan keperluan ekstra (persediaan jika bekalan biasa tidak mencukupi jika anda terpaksa memanjangkan tempoh pemergian)
  • Menyediakan plastik beg tong sampah, untuk memudahkan pembuangan sisa atau najis

Pentingnya pemilik menyediakan plastik sampah yang mencukupi, agar mudah penjaga membuang sisa dan najis haiwan. Seeloknya sediakan beg mesra-alam sebagai usaha menjadikan alam kita lebih hijau. Kami di HVC juga sehabis daya menyediakan plastik sampah mesra-alam, yang biodegradable.

  • Membersihkan peti ais sebelum pemergian anda, untuk mengelakkan bau busuk atau serangga perosak menghampirinya
  • Memaklumkan lebih awal jika ada kawasan di dalam rumah, yang tidak mahu dimasuki haiwan atau penjaga itu sendiri

Ini adalah contoh nota yang padat dan terperinci daripada seorang pemilik kepada Pet Sitter. Komunikasi sebegini penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar.


  • Jika anda meninggalkan ole-ole buat si penjaga, contohnya coklat atau gula-gula, maklumkan kepadanya secara spesifik menggunakan nota di peti ais, contohnya
  • Jika anda ada menugaskan individu lain untuk menjaga rumah, selain menjaga haiwan, maklumkan kepada Cat Sitter lebih awal untuk mengelakkan kekeliruan
  • Maklumkan doktor veterinar anda lebih awal dengan email atau surat, memaklumkan bahawa anda bepergian dan anda telah tugaskan Cat Sitter untuk menjaga kucing anda - ini penting apabila penjaga mungkin terpaksa membawa haiwan anda berjumpa doktor
  • Penting juga memastikan bahawa benda-benda yang membahayakan haiwan seperti sabun,racun perosak, ubatan, benda tajam dan lain-lain lagi disimpan kemas
Racun-racun atau benda berbahaya, disimpan kemas di dalam almari bertutup supaya haiwan tak mudah mendapakannya.

  • Rekod perubatan setiap haiwan dan nombor telefon serta kad bisnes doktor haiwan yang selalu dikunjungi, diletakkan di dalam satu folder untuk diserahkan kepada penjaga sepanjang peninggalan.

Pasti ada yang akan bertanyakan tentang kos servis ini kan?

Kos bergantung kepada beberapa perkara;

  • Jarak tempat anda dan penjaga
  • Profesionalism, kredibiliti atau syarikat penjaga bernaung
  • Jumlah, jenis serta keadaan haiwan yang hendak dijaga
  • Masa puncak atau masa tak puncak
  • Kepantasan tempahan dibuat
Contoh di mana pemilik menghargai perkhidmatan yang diberikan Pet Sitter. Perkhidmatan jenis ini lebih personal, menyebabkannya lebih diminati di luar negara.

Seeloknya setiap penjaga mempunyai SOP tersendiri. Ini barulah menunjukkan kredibiliti mereka dan menunjukkan yang mereka serius dalam memberi perkhidmatan.

Pentingnya juga penjaga membawa bersama senarai semak dan surat perjanjian antaranya dan pemilik. Ini akan menggambarkan profesionalism Pet Sitter tersebut.

Ya, penjaga dan pemilik juga harus kenal-mengenali antara satu sama lain. Barulah kepercayaan itu ada, kerana servis ini bukan sahaja melibatkan keselamatan haiwan tetapi juga rumah dan harta benda pemilik.

Ternyata, Pet/ Cat Sitting adalah satu servis alternatif yang patut dipertimbangkan oleh pemilik kucing yang banyak. Juga kepada pemilik yang fobia dengan Cat Boarding, terutamanya setelah kejadian pasca Aidilfitri 2011.

Di sini, kami ingin jemput anda semua untuk terus memberikan maklumbalas kepada borang soal selidik kami di bawah;


Respon anda boleh membantu kami, terutama menyelesaikan masalah pemilik kucing menjelang ambang Syawal.

Alhamdulillah, sekian sahaja nukilan kami kali ini. Semoga penerangan ini membantu memberi pemahaman tentang servis Pet/ Cat Sitting.

Sebarang pertanyaan lanjut, dialu-alukan untuk;
email ke drnurulhoney@gmail.com
whatsapp 019 347 3717

atau,

komen sahaja di bawah.