Kelibat mereka di mana-mana. Apatah lagi di kedai-kedai makan. Sayu, kesian, simpati. Itu adalah campuran rasa yang bertandang di jiwa saat melihat mereka.
Apa lagi, jika yang kelihatan itu berkurap, kurus kering, seperti hanya kulit dan tulang, atau si kecil yang belum cerai susu ibunya.
Sambil menikmati makanan, hati mula berbicara saat menatap mereka dari jauh.
Apakah yang membuatkan mereka terus hidup hari demi hari, tanpa berputus asa mengiau di sini sana, menagih simpati daripada yang sudi?
Apalah yang memberi kekuatan untuk mereka terus menerus, membawa diri berjalan ke hulu ke hilir, mencari sedikit makanan untuk meneruskan hidup?
Apakah yang membuatkan mereka memberanikan diri, keluar dari sarang persembunyian di saat perut berkeroncong, dan menoning berjalan sambil peka akan sekeliling dan sentiasa bersedia dari apa-apa kemungkinan, bahaya yang mendatang?
Apakah yang menjadikan mereka, tidak sesekali bermenung durja, mengenang nasib diri dibuang yang tak sudi, sehingga tiba-tiba terpaksa menjadi gelandangan?
Satu sahaja jawapannya. Mereka tahu mereka ada Tuhan, Allah SWT yang sentiasa ada dengan mereka.
Kebergantungan mereka kepadaNya tinggi, selalunya tak setinggi para manusia yang menerima nasib yang sama seperti mereka.
Mereka sedar, kenapa mereka diwujudkan di dunia. Dan dengan itu, mereka mudah redha, sambil tak jemu berusaha.
Apakah kita belajar sesuatu daripada mereka? Atau hanya menganggap mereka seperti tidak ada apa-apa makna di dunia ini.
Syukurlah, mereka dihadirkan di depan kita. Agar kita mula berfikir tentang nikmat rezeki kita terima setiap hari. Agar tiap nikmat itu disyukuri tanpa jemu.