Wednesday, December 21, 2016

KENAPA VET PERLU AMBIL DARAH KUCING SAYA?


Salam.

Ramai sangat dah yang tanya kami soalan sebegini.

"Kenapa ye Vet perlu ambik darah kucing? Dahla kosnya mahal. Lagi mahal dari ubat."

Macam mana pun kami cuba jawab sebaik mungkin selepas cek kucing, bila melangkah keluar je dari bilik pemeriksaan, catparent tetap akan tanya soalan ni lagi.

Jadi, hayati kisah di bawah ni dulu tentang seekor kucing comel ni yang tak baik-baik cirit dia walaupun setelah dapat ubat dari Vet.

(Nama watak bukan nama sebenar)

*bertabahlah membaca kisah ni, kerana ia sangaaaaat panjang*

*************************************

Molly, kucing yang baru sampai dari luar negara. Selepas beberapa hari di Malaysia, dia mengalami cirit birit teruk.

Vet yang mula-mula periksa Molly, dah pun bagi rawatan ubat makan sahaja untuk Molly.

Selepas 3 hari Molly diberi rawatan ubat makan untuk cirit, Molly belum menampakkan apa-apa progres. Malah, semakin teruk.


Kesian keluarga Molly, dah la terpaksa berjauhan dengan Molly sebab Molly masih kena kuarantin. Sekarang, bertambah risau dengan keadaan Molly yang menyedihkan tu.

Molly semakin lemah dari hari ke hari, dan ciritnya sudah mula ada darah. Molly juga muntah-muntah, dan semakin 'kering'.

Akhirnya, Molly terpaksa di bawa ke Vet dan Vet cadangkan supaya Molly melalui proses diagnosis terperinci dan rawatan intensif.

Mula-mula, Vet ambil sampel darah dan terus run blood test.

Dari keputusan darah Molly (baru 1 ujian iaitu ujian Complete Blood Count), ini yang Vet jumpa;

  1. Molly kurang darah merah
  2. Molly juga kurang semua jenis darah putih
Apa maksudnya keputusan darah Molly YANG NO.1 ni?

Molly sebenarnya dalam keadaan kritikal dan bahaya, kerana dia tak cukup darah dalam badan.

Apa jadi bila kucing tak cukup darah?

Badan kucing akan dapat kurang oksigen, yang menjadikan dia lemah, lembik, asyik baring je. Bila dibiarkan dalam keadaan macam ni, kucing boleh mati sebab bila otak tak dapat oksigen, semua organ akan shut down. Bila organ seperti jantung dan peparu yang shut down, of course kucing akan mati.

Daripada penemuan ni, barulah Vet boleh plan rawatan yang sebaiknya.

Inipun, belum sudah lagi proses diagnosis. Ada banyak lagi langkah-langkah kena buat. 


*tarik nafas dalam-dalam, hembuskan keluar nafas perlahan-lahan sebelum sambung baca*

Kita sambung kisah Molly semula.

Apa maksudnya keputusan darah Molly yang no.2 di atas?


Semua sel darah putih Molly kurang dari normal. Dalam kepala Vet, antara yang difikirkan adalah kemungkinan Molly ada jangkitan Parvovirus (nama timangan kepada Panleukopeniavirus).

Penyakit ini membuatkan kucing cirit berdarah, muntah-muntah, selalu termenung depan bekas air dan lembik.

Jadi, Vet perlu run test lain untuk confirmation jangkitan Parvo ni dalam Molly. 


Vet pun ambik sampel najis Molly yang cirit berdarah tu dan buat test. Kena tunggu dalam 10 minit untuk dapat result.

Lepas 10 minit......



Pap! Molly positif Parvovirus.


Keadaan jadi semakin genting sebab virus ni mudah berjangkit kepada kucing lain.

Sementara menunggu result darah tadi, Vet dah pasangkan drip pada Molly. Ini untuk tackle keadaan Molly yang 'kering' disebabkan asyik muntah, cirit dan tidak mahu makan dan minum.

Dalam pada itu...


Result darah Biochem pula keluar. Ini yang dapat disimpulkan dari result darah ini,



  • hati Molly sudah mula rosak
  • Molly ada demam kuning sedikit
  • buah pinggang Molly Alhamdulillah masih ok
  • jantung Molly dalam bahaya
  • kadar gula dalam darah Molly agak tinggi
  • badan Molly sangat-sangat kurang air (severely dehydrated)
Dari sini, Vet dah boleh bagi rawatan kepada Molly dengan lebih tepat.

Ingat tak masa mula-mula Molly cirit? Masa tu rawatan yang diberikan Vet tembak cara cowboy. Kali ni, dengan adanya result ujian darah Molly, Vet boleh tembak rawatan Molly tepat kepada sasaran seperti sharp-shooter.

Oleh kerana Molly sangat kekurangan darah, maka Vet buat keputusan untuk buat prosedur pemindahan darah kepada Molly, bagi meningkatkan peluangnya untuk hidup.

Sebelum prosedur pemindahan ni dijalankan, Vet perlu buat beberapa perkara seperti di bawah;
  • cek jenis darah Molly (samada A, B atau AB untuk match kan dengan penderma)
  • cek samada Molly boleh terima tak darah penderma (crossmatching)
Lepas tu, proses nak masukkan darah penderma pada Molly ni bukan mudah.

Kena bius si penderma darah. Timbang berat dia. Kira berapa banyak darah nak kena ambil. Sediakan segala tiub darah dan blood bag.

Sekurang-kurangnya 3 orang diperlukan untuk proses ni dan minima 3 jam jika semua berjalan lancar.

Kalau yang membaca cerita ni pun letih, apatah lagi Vet dan tim yang melaluinya.....kalau anda ada di situ, anda boleh tengok wajah kezombian mereka sepanjang proses itu.

Setelah Molly dapat darah baru, barulah Molly nampak segar sedikit dan bermaya. Molly sudah mahu makan sedikit.

Cirit pun dah berkurang. Molly dan boleh bangun berdiri.

Selepas 3 hari, darah Molly diambil sekali lagi untuk tengok progres.

Alhamdulillah, darah merah Molly dah makin banyak, hati dah semakin pulih, demam kuning dah banyak berkurang, dan jantung dah tak dalam bahaya lagi.

Lepas seminggu Molly diwadkan, drip dah pun dicabut sebab Molly dah makan dan minum sendiri. Najis dah normal, kencing dah banyak, dah aktif nak main....jadi, akhirnya Molly dah boleh balik rumah kepangkuan keluarga.

Keluarga Molly memang sayangkan Molly giler-giler.

Sebabnya, mereka hampir setiap hari jenguk Molly sampaila hari boleh balik. Dan, mereka sanggup keluarkan kos RM 4 angka untuk pastikan Molly dapat the best.

******************************************

Jadi, apa yang anda semua faham persoalan tentang perlunya Vet ambil darah kucing, dari cerita Molly di atas?

Vet tak dapat bagi rawatan dengan terbaik kalau main tembak macam cowboy. Cara ni sama macam gamble.

Nak bagi the best, memang bukan senang. Tak dinafikan kos ujian darah atau segala macam diagnostic test ni bukannya murah.

Tapi, ia sangat-sangat penting bagi menyelamatkan nyawa kucing tu.

Cerita Molly di atas pun baru sentuh sikit tentang pentingnya ambil dan test darah kucing. Ada banyak lagi yang belum diceritakan. In shaa Allah di kemudian hari.


Ada soalan?

Tanya je kami di email honeyvets@gmail.com