Tapi, kini nasibnya sangat berbeza. Dia bertuah kerana ditakdirkan bertemu dengan seorang hamba Allah yang prihatin. Dirinya dibawa pulang, dibersihkan dan diberi kasih sayang sepenuhnya. Semenjak dia terpisah dengan ibunya, inilah kali pertama dia merasakan dirinya diambil berat dan terjaga. Setelah diberi makan dan dibiarkan berehat, petang itu Putih dimasukkan ke dalam bakul dan dibawa ke satu tempat dengan menaiki kereta. Dia dapat mengagak yang dirinya akan dibawa ke klinik haiwan dan berjumpa doktor. Tidak sabar rasanya hendak bertemu dengan doktor yang baik itu.
Tiba-tiba, kereta berhenti dan dia dibawa keluar dari kereta. Dia mula terhidu bau kucing-kucing lain yang dikenali dan ada juga yang baru apabila terasa sampai ke suatu ruang. Terdapat bau-bau haiwan lain juga seperti arnab dan tikus. Kemudian, dia terasa yang bakul itu berhenti dan diletakkan ke bawah. Dari lubang-lubang bakul itu dia dapat menghidu dan melihat seekor kucing lain yang berada di dalam bakul lain diletakkan disebelahnya.
Putih: Apa khabar? Saya Putih. Awak?
Princess: Hmmm….saya Princess. Saya sakit.
Putih: Awak sakit apa?
Princess: Saya tak boleh nak beranak macam biasa. Anak saya tak mahu keluar walaupun saya dah teran banyak kali. Ini hari ke-2 saya sakit. Saya rasa letih sangat.
Putih: Macam mana boleh jadi macam tu sekali?
Princess: Ini kali ke-10 saya mengandung. Anak-anak saya semuanya terpisah dari saya selepas sahaja umur mereka 2 bulan. Kadang-kadang tak sampai pun..mereka dijual kepada orang lain. Saya rasa saya dah tua untuk mengandung dan beranak…
Putih: Kesiannya awak. Kucing Parsi macam awak orang ramai suka, tentu anak-anak awak pun comel macam awak sebab tu mereka dijual.
Princess: Saya berharap orang bukannya setakat sukakan saya tetapi melayan saya dengan baik juga.
Putih: Kenapa awak cakap macam tu? Saya ingatkan awak dibelai manja dan dijaga dengan penuh kasih sayang sebab awak sangat comel kalau nak dibandingkan saya yang biasa ni.
Princess: Hakikatnya saya ni seperti mesin membuat anak. Selepas sahaja saya dipisahkan dengan anak, saya akan dipasangkan dengan kucing jantan sejenis saya sehingga saya mengandung. Saya harap saya dapat berehat dari semua ini cepat… Ditempat saya, ada ramai lagi kucing sejenis saya menerima nasib yang sama. Kami hanya dikurung setiap hari. Jarang sekali dibelai-belai.
Putih: Saya simpati dengan awak. Tak sangka nasib awak malang begitu sekali..saya rasa sangat beruntung kerana sekarang saya dijaga rapi dan dianggap seperti ahli keluarga. Mereka selalu bawa saya berjumpa doktor walaupun saya cuma selsema sikit. Kalau awak nak tahu, saya dah dikasi, saya tak pernah mengandung. Vaksinasi, ubat cacing, ubat kutu semua saya dapat ikut jadual.
Princess: Bertuahnya awak…saya harap satu hari nanti saya berubah nasib beruntung macam awak.…ntah sampai bila saya dilayan sebegini..
Putih: Berdoalah Princess…saya pun akan berdoa supaya awak pulih cepat dan menerima belaian kasih sayang seperti saya dalam masa terdekat ini.
Tiba-tiba Princess dibawa pergi. Sayu hati Putih melihat rakan barunya itu. Semoga Princess selamat, doanya. Hatinya tertanya-tanya kenapa kucing Parsi secomel itu menerima layanan buruk seperti itu. Syukur Putih panjatkan kerana nasibnya bertambah baik dari dahulu….