Tahukah anda untuk menanggar umur kucing kita boleh dilihat pada giginya?
Ya! Struktur gigi amat penting dalam pengiraan umur. Hatta dalam manusia pun struktur gigi adalah antara komponen penting dalam bidang forensik.
Soalan lazim yang selalu diajukan pada saya seperti "Doktor, saya baru ambil kucing ini. Tak taula berapa umurnya". Ada juga senario di mana seorang pemilik baru sahaja membeli seekor kucing yang dimaklumkan padanya masih anak kucing (kurang 6 bulan), ternyata dia ditipu setelah kami memeriksa giginya dan kucing itu sebenarnya sudahpun dewasa. Justeru itu, saya rasa terpanggil untuk menulis post ini.
Ini adalah struktur gigi karnivor. Dimana Incisor adalah gigi kacip dan Canines adalah gigi taring. 2 jenis gigi inilah selalu yang digunakan untuk mengira/menganggar umur kucing. Molar dan premolar adalah gigi geraham.
Tetapi sebelum kita belajar menganggar umur kucing, kita perlu tahu beza antara gigi susu dan gigi kekal. Ini kerana dengan dapat membezakan 2 jenis gigi inilah kita akan dapat menganggar umur kucing dengan lebih baik.
Gigi susu mempunyai ciri2 seperti lebih kecil dan warna yang keputihan seperti susu. Kita dapat melihat gigi susu tumbuh berjarak antara satu sama lain dan lebih nyata pada gigi kacip. manakala, gigi kekal bersaiz lebih besar dan mempunyai warna agak kekuningan sedikit (offwhite). Gigi kacip yang kekal tumbuh rapat2 antara satu sama lain tanpa ada ruang pemisah antara mereka.
Jika anda lihat gambar di atas dan di bawah, ada 3 pasang gigi kacip dan sepasang gigi taring. Saya tidak akan menyentuh tentang gigi geraham di dalam perbincangan ini. Saya akan melabel setiap pasang gigi kacip untuk memudahkan penerangan seterusnya:
Oleh itu, berikut adalah cara menganggar umur kucing melalui gigi:
Semua gigi susu tumbuh (K1-K3 & TARING) => 2 bulan
K1 tukar gigi kekal => 3 bulan
K2 tukar gigi kekal => 4 bulan
K3 tukar gigi kekal => 5 bulan
TARING tukar gigi kekal => 6 bulan
* Umur yang dinyatakan adalah anggaran (lebih kurang)
CONTOH:
Gambar ini menunjukkan haiwan ini mempunyai 2 gigi taring pada rahang atasnya. Gigi taring yang lebih kecil adalah gigi susu. Bolehkah anda bezakan gig taring susu dan kekal dalam gambar ini?
Haiwan ini sudah adalah berumur lebih kurang 6 bulan.
Anak kucing ini berumur lebih kurang 2 bulan. Semua gigi yang ditunjukkan adalah gigi susu.
Lihatlah gigi kacip yang tumbuh agak jarang antara satu sama lain.
Ini adalah contoh gigi kekal. Lihat betapa besar gigi taring kekal berbanding gigi taring susu. igi kacip kekal tumbuh rapat2 antara satu sama lain.
Dengan itu, sekian post kali ini. Diharap banyak info bermanfaat yang dapat digarap. Terima Kasih.
P/S: Anjing juga menggunakan kaedah yang sama dalam menganggar umur.