Guk!Guk!..Ngiau!Ngau!!!..Meow..meow..Kedengaran bunyi ini di tengah2 malam sunyi menganggu kita dari mimpi dan tidur yang lena. Tersedar saja, terus kita teringatkan kucing kita yang belum balik lagi dari merayau selepas diberi makan petang tadi. Lantas, kita membawa diri, merayau ke sana ke mari di dalam rumah dan kemudian melilau di sekitar rumah mencari si comel yang mungkin terlibat dengan bunyi bising tadi. Tempat yang gelap disuluh dan ternampak di situ sekujur badan kecil yang comel, layu menggigil terbaring dengan badan yang kotor dan cedera.Dikala tengah malam begini, sedia maklum tiada klinik haiwan yang masih buka, lalu kita merawat si comel yang cedera apa yang termampu dengan harapan si comel itu dapat bertahan hingga ke pagi dan sempat dirawat oleh doktor tika klinik sudah dibuka.
Kawanan anjing liar yang ke sana ke mari mencari makanan. Bukan salah mereka yang menjadi mangsa keadaan.
Ini mungkin pengalaman sesetengah daripada kita yang mendiami kejiranan yang dibelenggu kawanan anjing liar. Kucing memang haiwan yang biasa menjadi mangsa mereka dan ini bukan salah mereka 100%. Jika kucing itu bernasib baik, kita sempat menemuinya hidup-hidup. Jika tidak, kita takkan menemuinya kerana telah dijadikan makan malam anjing2 liar kelaparan itu.
Kronologi anjing serang kucing:
- Anjing2 mendekati kucing.
- Kucing mempertahankan diri dengan mengeluarkan bunyi mendengus serta mengembangkan bulu badan. (Ini membuatkan anjing rasa tercabar)
- Kucing merasakan diri terancam namun tidak dapat mempertahankan diri lalu bertindak melarikan diri.
- Anjing mengejar dan apabila kucing tersalah langkah, anjing sempat menggigit di bahagian belakang kucing.
- Sambil menggigit kucing, anjing menggoncang kucing yang cuba melawan dan menggonggong kucing ke tempat lain untuk 'dinikmati' bersama ahli kumpulan yang lain.
Kucing yang rasa terancam akan bertindak sebegini. Rujuk kronologi no.3.
Ingin dijelaskan di sini bahawa kebanyakan kucing yang menjadi mangsa anjing adalah kucing yang melawan/ provoke anjing yang mendekatinya. Jika kucing dari awal lagi melarikan diri, adalah tinggi peluangnya untuk tidak menjadi mangsa anjing2 itu. Dan jika pada ketika anjing baru menggigit kucing dan belum menggoncang2 badan kucing, lalu anjing melepaskan gigitan dek gangguan luar seperti kenderaan menghampiri atau orang menghalau, peluang kucing untuk survive adalah lebih baik. Walaubagaimanapun, gigitan anjing tersebut tetap membahayakan nyawa kucing. Kenapa?
Kesan gigtan anjing pada bahagian belakang badan kucing.
- Gigi anjing yang besar boleh menyebabkan pendarahan dalaman pada kucing
- Gigitan anjing boleh menyebabkan jangkitan penyakit 'anjing gila' atau rabies
- Terdapat banyak bakteria di dalam mulut anjing yang akan menyebabkan kucing yang digigit mengalami jangkitan keseluruh badan/ septicemia serta sawan seperti tetanus.
Kita tak dapat nak mengawal pergerakan anjing2 liar ini. Untuk bergantung pada majlis perbandaran pula, tak semestinya mereka ini efektif dalam memantau dan mengurangkan jumlah anjing2 ini. Selagi masih ada individu yang tidak mahu memandulkan haiwan mereka, selagi itu populasi haiwan liar ini bertambah. Apa yang kita, sebagai pemilik kucing boleh kawal adalah pergerakan kucing kita.
Jadi pengajarannya, jika sayangkan si comel dan jika di kejiranan kita memang terdapat banyak anjing2 liar berkeliaran, maka kurungkanlah si comel2 ni. Memang kesian pada mereka sebab tidak boleh lepas bebas ke mana2 tapi percayalah, ini lebih berbaloi.