Wednesday, November 24, 2010

Kucing dulu, kucing sekarang. Lain dahulu, lain sekarang.

Dengan izin Allah, kami mulakan nukilan ini.

Kita berpantun ya:

Kucing dulu,
Kucing sekarang,
Lain dahulu, 
Lain sekarang.



Ini bukan setakat pantun tetapi sesuatu yang kami rasa perlu diperbincangkan sebab banyak kali saya dipersoalkan seperti:

  • Orang dulu bela kucing tak perlu bawa jumpa doktor, elok saja.
  • Kucing kampung dulu-dulu tak pula selalu sakit macam kucing sekarang ya.
  • Macam-macam pula penyakit kucing ni, masa saya kecil-kecil dulu tiada pula seperti sekarang.
  • Kucing dulu-dulu hanya makan nasi dengan ikan sahaja, tiada masalah pun. Kucing sekarang yang makan makanan kucing beli ini, macam-macam masalah pula.

 Agak-agak biasa dengar tidak kenyataan-kenyataan di atas?

 Model kucing zaman dahulu dan...




Model kucing zaman sekarang (cats rocks!!)...jauh berbeza kan?

Berikut adalah relevannya situasi "kucing dulu, kucing sekarang" pada pendapat kami.
  • Daya ketahanan badan kucing sekarang lebih rendah 
 Ini disebabkan beberapa faktor seperti kucing sekarang sudah banyak baka campuran. Baka asing seperti Persian, Maine Coon, Bengal dan sebagainya punyai daya ketahanan badan yang kurang kuat bila berada di negara kita berbanding di tempat asal mereka. 

Sebabnya, lebih kurang seperti kita punya ketahanan badan bila berada di negara orang berbanding rakyat negara itu sendiri. Contoh yang kita dapat lihat, bila ingin menunaikan Umrah atau Haji, kita diminta untuk mengambil beberapa imunisasi sebelum bertolak ke sana.

Daya ketahanan badan pada sesuatu penyakit boleh didapati dari keturunan dan persekitaran. Jadi, bila daya ketahanan itu tiada pada ayah/ibu, maka senanglah si anak juga terkena jangkitan. 

  • Banyak berlakunya kejadian 'sumbang mahram' 

Sumbang mahram atau inbreeding dikalangan kucing-kucing ini menyebabkan ketidakseimbangan genetic pool. Bila keadaan sebegini berlaku, bukan hanya daya tahan badan tidak kuat, tapi mengundang berbagai masalah lain seperti bantut. 

Oleh itu, berhati-hatilah apabila membeli kucing kerana ada di antara breeder yang 'menggalakkan' sumbang mahram ni di breeding farm mereka.


  •  Kesedaran tentang kesihatan haiwan kesayangan meningkat

Sekarang ramai di antara kita adalah golongan terpelajar berbanding zaman dahulu. Ditambah pula dengan pelbagai kemudahan untuk medapatkan maklumat, membuatkan ramai yang peka terhadap kesihatan haiwan kesayangan mereka. 

Teknologi perubatan veterinar juga bertambah baik dari tahun ke tahun, banyak penemuan baru tentang penyakit dan penawarnya. Sama juga keadaanya dengan penyakit manusia contohnya AIDS. 

Dikatakan AIDS wujud sejak beratus tahun dahulu lagi, tetapi baru benar2-benar diketahui/disedari kewujudannya sejak beberapa puluh tahun kebelakangan ini. 

Bagi kami, adalah satu berita baik di mana sekarang ini ramai antara kita amat peka dengan kesihatan haiwan dan ini menunjukkan tahap ketamadunan yang tinggi.



    Kucing sekarang lebih selamat jika diletakkan dalam sangkar kerana dulu basikal sahaja yang drifting di jalanan, berbanding sekarang banyak kereta drifting dan motosikal 'rempiting'.


  • Penyakit berubah corak 

Seperti apa yg saya pernah beritahu di entri sebelum ini (The sequel of Si Kencing Manis), mikrorganisma seperti virus dan bakteria bermutasi dari semasa ke semasa supaya mereka boleh terus boleh bertahan di muka bumi ini. 

Sebab itu, penyakit selsema bermacam-macam nama, contoh Avian Flu, Swine Flu dan sebagainya. Bila satu hilang, yang lain pula muncul. Ini adalah satu 'peperangan' antara kami (para veterinawan sekalian) dan mikroorganisma di mana mereka sentiasa berubah dan veterinarawan sentiasa terus mengkaji cara memerangi mereka.


Ringkasan bagaimana bakteria bermutasi dan resistant pad antibiotik.
Penerangan di atas adalah hanya atas pandangan kami. Tidak ada kajian formal yang dibuat untuk mendapat kesimpulan-kesimpulan yang telah kami coretkan . Apa yang saya utarakan adalah buah fikiran kami sendiri berdasarkan pengalaman dan apa yang kami pelajari selama ini.


Diharapkan dengan penerangan ini, segala persoalan berkaitan terungkai.

Sekian.

Kami akhiri coretan dengan lafaz Alhamdulillah.