Tuesday, January 4, 2011

Korek, Jangan Tak Korek.


Dengan nama Allah, kami mulakan nukilan ini.

Apakah yang mahu dikorek?
Korek di sini adalah berkaitan dengan telinga kucing.

Diharapkan entri ini memberi manfaat kepada anda semua.

Adakah kita biasa mendengar skrip seperti;

"Takut terkena gegendanglah kalau korek"



"Kami tak berani nak korek dalam-dalam, mampu bersihkan di bahagian luarnya  sahaja"
    Ini adalah respon biasa kami dengar apabila kucing dibawa kepada kami dengan masalah telinga.

      Masalah telinga ada pelbagai punca seperti:
    1. Telinga dengan kotoran berwarna kehitaman dan gatal -> Hama telinga 
    2. Telinga kemerahan serta berbau masam -> jangkitan Yis
    3. Telinga keluar nanah dan sangat berbau -> jangkitan bakteria





    Rupa dalaman telingan kucing yang bermasalah.
    Deskripsi gambar:
    Kiri atas - Jangkita hama telinga
    Kanan atas - Telinga kucing normal
    Kanan bawah - Jangkitan bakteria telinga
    Kiri bawah - Jangkitan yis telinga
    (gambar ehsan jeannemelanson.com)



    Video ini menunjukkan aktiviti hama telinga LIVE di dalam telinga kucing yang dirakan menggunakan endoskop.


    Ini pula video zoom in hama telingan kucing di bawah mikroskop.

    Setiap masalah telinga seharusnya dirawat dengan membersihkan telinga terlebih dahulu. Kemudian, barulah dititiskan ubat telinga.

    Jika tidak dibersihkan telinga yang kotor itu, ubat tidak akan kena pada tempat yang sepatutnya. Jika ubat tidak kena pada tempat yang sepatutnya, maka lambatlah telinga itu kembali pulih seperti sedia kala.
        
    Sebenarnya anatomi telinga kucing dan anjing tidak sama seperti telinga manusia..

    Lihat ini:

    Ini anatomi telinga kucing (gambar bukanlah kepunyaan kami. Ia ehsan dari sumber internet).

    Cuba perhatikan rongga telinga ini. Bentuknya tidak mendatar sahaja seperti telinga manusia (rujuk gambar di bawah).  Jadi, apabila kita korek telinga kucing dalam-dalam pun takkan terkena dan merosakkan gegendangnya.


     
    Anatomi telinga manusia (gambar bukanlah kepunyaan kami. Ia ehsan dari sumber internet).

    Apa yang diperlukan untuk membersihkan telinga kucing?

    Untuk anda dirumah, cukup dengan adanya baby oil dan cotton bud (haruslah yang berkualiti kerana dikhuatiri yangg kurang berkualiti, cottonnya akan tertanggal dan tertinggal di dalam telinga (lain pula ceritanya nanti).

    Pantang telinga kucing adalah air. Setitik air termasuk ke dalam telinga memang mengundang jangkitan. Jadi, selepas mandikan mereka, amatlah sangat digalakkan untuk membersihkan telinga mereka untuk elakkan jangkitan terutama Yis.

    Bezanya jangkitan Yis dan hama telinga ialah:
    • bau yang kurang menyenangkan dari telinga
    • rongga telinga yang kemerahan dan bengkak
    • bila dikorek, tahi telinga adalah lembap, putih kehijauan (jika Yis sahaja) atau hitam bercampur putih kehijauan (jika mix infection)
    Inilah bentuk Yis yang dapat dilihat menerusi mikroskop. Di dalam bulatan oren itu adalah salah satu yis di mana bentuknya seakan-akan kacang tanah.

    Kami memohon maaf disini kerana tiada gambar yang sesuai untuk saya paparkan berkaitan jangkitan Yis. Ini mungkin kerana jangkitan Yis selalunya dikesan dengan penggunaan otoskop dan agak sukar mengambil gambar melalui alat ini.

    In shaa Allah, suatu hari nanti akan kami sediakan fasiliti otoskop digital.

     Tetapi, apa yang kami boleh gambarkan adalah, apabila menggunakan otoskop, kami dapat melihat jauh ke dalam rongga telinga dan jelas kelihatan tompok-tompok putih di sekeliling dinding rongga telinga. Dalam kes yang agak teruk,terdapatnya ulser pada dinding telinga yang dijangkiti.

    Otoskop dan kucing.


    Sekian sahaja perkongsian kali ini.

    Mahu belajar teknik yang betul mencuci telinga kucing?

    Klik gambar di bawah.