Dengan nama Allah, kami mulakan coretan berharga ini.
Namun, sebelum memulakannya, kami ingin sekali memohon maaf andai coretan ini bakal mengguris hati sesiapa yang terasa.
Semoga coretan ini mampu membuka mata dan hati kita semua dengan izin Allah SWT.
Kami terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana kami sentap dengan beberapa skrip berbunyi;
"Alah, ini kucing kampung sahaja, perlukah diberi ubat cacing?"
"Kucing ini kucing kampung, tak perlu divaksin. Mereka kuat"
Ini kucing kampung yang malang nasibnya. Kotor, busuk dan hodoh. Tapi, adakah adil jika ia didiskriminasikan dan hanya layak tinggal di jalanan?
-Gambar ihsan google.com-
Dua skrip di atas adalah beberapa contoh kata-kata diskriminasi yang dilemparkan ke atas kucing kampung.
Mahukah kita jika, kita ini orang kampung dan orang bandar mengeluarkan skrip seperti;
" Alah, mereka orang kampung, tidak perlulah disediakan klinik."
"Mereka orang kampung, apa perlunya disediakan jalan, elektrik, air dan kemudahan lain."
Lihat kanak-kanak orang asli ini, ya mereka tak secanggih kita di bandar. Adakah ini bermakna mereka tak layak menerima program kesihatan sama seperti kanak-kanak bandar?
-Gambar ihsan google.com-
Adakah hanya kanak-kanak yang terdedah dengan arus kemodenan yang layak menerima program kesihatan terbaik di negara ini?
-Gambar ihsan google.com-
Walaupun kami bukan orang kampung tulen, tetapi hati kami sedikit sebanyak terguris mendengar skrip sebegini.
Allah itu Maha Adil. Pasti Dia amat murka dengan hambaNya yang mengamalkan sikap diskriminasi. Betul?
Adakah kita suka didiskriminasikan tentang sesuatu yang kita tak minta?
Adakah hanya kucing-kucing cantik sebegini, yang gebu, bersih berbaka tulen, yang memenangi cat show yang hanya layak mendapat yang terbaik?
-Gambar ihsan google.com-
Pencinta kucing sebenar, mampu menyayangi semua kucing mereka ataupun bukan tanpa mengira rupa, baka, asal-usul dan sentiasa ingin berikan yang terbaik.
Andai kita suka bersikap diskriminasi terhadap kucing, tak mustahil suatu hari kita akan menjadi mangsa diskriminasi juga.
Penyakit yang menghinggapi kucing pun tak diskriminasi terhadap mangsa mereka. Mereka serang sahaja semua kucing, asalkan mereka boleh hidup.
Sama juga seperti manusia, bakteria, kutu dan virus jarang sekali 'pilih bulu' bila mahu menjangkiti manusia. Mereka tidak pilih hanya menjangkiti Mat Salleh, orang asli, artis Bollywood sahaja, tetapi orang biasa-biasa pun boleh dijangkiti AIDS.
Kami seru peminat dan pencinta kucing tegar semua, supaya hentikan diskriminasi terhadap kucing kampung.
Kasihanilah mereka, mereka tidak minta dilahirkan sebegitu.
Tetapi, mereka berhak untuk mendapat rawatan yang sama seperti kucing berbaka yang selalu didambakan itu.
Lagipun, jika kita terjangkit cacing pita tak kiralah samada dari kucing kampung atau kucing Parsi, bahayanya tetap sama.
Kepada yang Muslim terutamanya, bayangkan sahaja jika Rasulullah SAW dikalangan kita. Adakah baginda gembira dengan sikap diskriminasi kita ini terhadap kucing kampung.
Kucing baginda sendiri bernama Muezza tak pernah dikatakan kucing berbaka cantik dan gebu.
Jom kita contohi cara Baginda Rasulullah SAW sayangkan kucing.
In shaa Allah.