Friday, May 24, 2013

Ilmu Untuk Dikongsi.


Dengan izin Allah SWT, kami menulis lagi.

Ilmu itu untuk dikongsi.
Siapa setuju pernyataan ini?

Kami mula merasakan penatnya berkongsi secara one to one setelah hampir 3 tahun berkhidmat di atas kaki sendiri. Atau dengan kata lain, memberi konsultasi secara personal setiap hari semasa bertugas bersama klien.

 Itupun, perkara yang dapat dibincangkan adalah terhad kepada isu berbangkit saat itu sahaja. Contohnya, jika kucing datang dengan masalah kulit, kami perlu fokuskan perbincangan tentang isu itu dan bukan isu lain seperti vaksin dan cacing.


Di saat konsultasi sebegini, masa adalah sangat terhad untuk Vet berkongsi banyak perkara, terutama tentang program-program pencegahan penyakit.


Masa di bilik konsultasi, masa adalah terhad. Ini kerana pada masa itu, fokusnya adalah menyelesaikan masalah berbangkit atau complaint daripada klien. Lagipun, perlu beri laluan kepada klien lain yang sedang menunggu giliran.

Sedangkan terlalu banyak hal ehwal kesihatan kucing dan haiwan lain yang perlu dikongsi. Terlalu banyak perkara tentang kesihatan kucing dan pengurusan mereka, yang perlu kami kongsikan supaya kucing dan pemiliknya sejahtera.

Sejahtera di sini bermaksud,kucing sihat dan pemiliknya bahagia, selamat dunia dan akhirat In Shaa Allah, kerana dapat elakkan menganiaya kucing tersebut tanpa sedar, dengan ilmu  yang betul.

Akhirnya, kami mula membuat keputusan untuk mengadakan seminar, majlis ilmu di mana kami dapat berkongsi mengenai penjagaan kucing dengan berkesan, menjimatkan tenaga, masa dan wang pemiliknya untuk jangka panjang.

Walaupun pada mulanya, kami agak segan kerana umur setahun jagung kami di dalam industri ini, namun dengan berpegang kepada kata-kata mentor kami, 'apa gunanya beratus tahun pengalaman, tetapi tidak mahu dikongsikan. Hilang peluang mengumpul saham akhirat', kami beranikan diri jua..

Maka, lahirlah seminar sulung kami pada Januari lepas, Seminar CATCARE. Alhamdulillah, sambutan daripada peminat khcing berdedikasi dan komited adalah menggalakkan. Seramai hampir 30 peserta yang hadir.

Seminar sulung kami, Seminar CATCARE yang berlangsung Januari lepas. Ini gambar kenangan bersama peserta-peserta (tak semua) yang hadir.

Kami kongsikan 7 asas penjagaan kucing supaya pemilik mampu menjimatkan masa, tenaga dan wang dalam menguruskan kucing kesayangan mereka. Terutama yang memiliki banyak kucing.

Semua yang kami kongsikan adalah berdasarkan pengalaman kami sendiri yang memiliki 7 ekor kucing, juga pengalaman klien-klien kami sepanjang 5 tahun memegang tanggungjawab ini.

Kami percaya setiap pekerjaan, ada tanggungjawab mendidik masyarakat. Tugas sebagai doktor haiwan ini, bukan setakat merawat, tetapi juga mendidik supaya penyakit boleh dicegah.

"Mencegah Itu Lebih Baik Dari Mengubati".

Prinsip ini kami pegang sampai mati. Kami rasa sangat bahagia bila peserta berkongsi rasa gembira mereka, setelah menghadiri Seminar ini. Lebih membahagiakan apabila, mereka bertindak dengan ilmu yang telah diperoleh dan merasai sendiri nikmat kesannya.

Antaranya, kucing jarang sakit, semakin gebu dan mudah diurus. Bagi kami, alangkah baiknya jika wang yang dibelanjakan untuk bil rawatan yang tinggi dapat disalurkan untuk pencegahan penyakit, makanan yang baik dan seimbang serta tempat tinggal kucing yang kondusif.

Biarlah perbelanjaan itu bermanfaat untuk kucing dan pemiliknya untuk jangka panjang. Lagipun, tak semestinya dengan mengeluarkan kos perubatan yang tinggi, kucing itu pulih seperti sediakala seperti sebelum sakit.

Contohnya, dalam kes saluran kencing tersumbat akibat batu karang, kesan dari diberi diet yang tinggi kandungan garam. Walaupun, saluran kencing tak lagi sumbat, tetapi akibat kronik,buah pinggang juga menjadi rosak.

Ini sangat menyedihkan, kerana kucing tersebut dan pemiliknya akan berhadapan dengan kualiti hidup yang menurun selepas ini. Kos maintenance kucing tersebut meninggi, serta memerlukan perhatian yang ekstra daripada pemiliknya. Ini juga akan melibatkan emotional drain kepada keduanya.

Seminar kedua kami, Seminar CATCARE 2.0 pula melibatkan unsur keagamaan sedikit. Kami ingin membawa konsep menyayangi kucing berinspirasikan Rasulullah SAW, nabi junjungan kita.

Seminar CATCARE 2.0 yang berlangsung Mac lepas. Dr Johaimi sedang memberi penerangan tentang poin yang diekstrak daripada program Fattabiouni.

Kadang-kadang kita sebagai Muslimin dan Muslimat, terlupa bahawa kucing bukan sekadar hobi, tetapi amanah. Kucing pembawa rezeki di dalam hidup kita, sejajar dengan Hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut, 'kucing adalah kekayaan rumah'.

Tetapi, sering kita lihat kucing dibuang di kaki lima, pasar dan restoran. Kami sedar ramai yang buntu apabila berlaku lambakan kucing di rumah yang tak terkawal. Jadi, kami pasti dengan izin Allah, perkongsian kami bakal menyelesaikannya.

Dan tanpa disangka, seminar yang diadakan pada bulan Mac lepas, bukan sahaja menyaksikan perkongsian kami sahaja, malah daripada para peserta jua. Kami telah belajar sesuatu yang bermakna pada hari tersebut.

Kucing kesayangan, walau sayangnya kita pada mereka, kita elakkan sesekali mengabaikanNya. Jika kucing yang paling disayang itu ditimpa musibah, maka Allah SWT sedang menarik kita kembali mementingkanNya.

Jutaan terima kasih kepada Cikgu S, kerana sudi berkongsi kisah sedih tetapi begitu berkesan di hati kami. Cikgu S merupakan klien setia kami, yang tidak pernah lokek mengeluarkan wang untuk yang terbaik buat kucing-kucingnya dan juga kucing terbiar.

Beliau sering berkongsi cerita yang beliau mendapat durian runtuh, hampir setiap kali selepas menyelamatkan kucing jalanan atau kucing sendiri tanpa berkira soal kewangan. MashaAllah, sungguh Allah bayar cash kepada hambaNya yang ikhlas menggalas amanahNya.

In Shaa Allah, 1 hari sahaja lagi, Seminar ketiga kami akan muncul. Kali ini berkenaan teknik mudah lagi berkesan merapi dan mendandan kucing. Pemilik mampu lakukannya sendiri di rumah dengan mudah dan jimat masa serta wang. Dengan syarat,dengan ilmu yang betul.

InshaaAllah, mohon doa kalian agar Seminar berjalan lancar dan para hadirin nanti mendapat manfaat maksimum daripada perkongsian kami nanti.

^_*