Thursday, June 6, 2013

BENARKAH PERLU HALAL?


Alhamdulillah, Allah lapangkan masa kami untuk menyentuh isu ini.

Dengan berlapang dada dan lafaz Bismillah, kami mulakan coretan yang mungkin akan mencetus kontroversi ini.

Soalan:
Benarkah makanan kucing perlu Halal?
Apa definisi Halal sebenarnya?
Adakah benar makanan kucing di pasaran sekarang tidak Halal?

Owh, persoalan-persoalan di atas terlalu kerap diajukan kepada kami dan YA, benar ia membuatkan kami rasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan.

Sungguh makanan kucing HALAL sangat tidak logik.

Adakah logo ini layak dan perlu diletakkan pada bungkusan makanan kucing? Fikir-fikirkan.

Mengapa kami katakan sedemikian?

Sedangkan ayam Halal di pasaran sekarang pun kita masih sukar untuk pastikan kesahihannya, apatah lagi kandungan Halal dalam makanan kucing.

Prosedur sembelihan Halal itu sendiri mempunyai kos tersendiri. Seperti yang kita lihat, ayam Halal adalah lebih mahal berbanding ayam tak Halal, kan?

Jadi, persoalannya; logikkah makanan kucing yang terdapat di pasaran sekarang benar-benar mengandungi ayam Halal (contohnya)?

Tahukah anda, ayam-ayam di rumah sembelihan mega tak semestinya halal? Ini kerana walaupun ayam-ayam ini disembelih dengan cara Islam tetapi, mereka mati lemas. Bukan mati dengan Halal.

Sebagai pemodal dan pengeluar makanan ini, semestinya mereka mahu mengurangkan kos sebanyak mungkin dan tak mampu memastikan ayam atau daging yang mereka gunakan adalah Halal yakni disembelih secara Islami.

Tambah-tambah, makanan kucing yang begitu mudah didapati di kedai runcit, hypermarket dan supermarket di mana harganya sepeket tidaklah begitu mahal.

Ia sungguh tidak logik.

Jadi, apa sebenarnya ISU BESAR yang menyebabkan timbulnya produk makanan kucing halal?

Isunya hanyalah kandungan bersumberkan khinzir, yang dikatakan ada di dalam makanan kucing yang sedia ada diimport dari negara barat seperti AS dan UK.

Tidak dinafikan, makanan kucing yang mengandungi unsur khinzir, menyebabkan ramai pemilik kucing tidak selesa mengendalikan makanan tersebut. Tetapi, tiada sumber khinzir (atau berlabel Halal), tak bermaksud makanan itu baik untuk kesihatan kucing. Ada sahaja pilihan makanan bebas khinzir dan sangat bernutrisi untuk kesihatan kucing.

Makanya, makanan kucing 'Halal' yang sedia ada di pasaran sekarang tidaklah Halal secara hakiki, hanyalah SUCI kerana bebas dari bahan bersumberkan khinzir.

Apa sebenarnya definisi Halal dan hukum memakan makanan Halalan Toyyiban ini tertakluk kepada siapa?

MashaAllah, kami bukanlah ahli agama untuk mengupas lanjut isu hukum-hakam, tetapi secara asasnya, semua umat islam patut tahu apa sebenarnya definisi Halal.

Ini adalah takrifan HALAL oleh JAKIM:

Takrif Halal mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan “Halal”) 1975 adalah seperti berikut:
Apabila digunakan berhubung dengan makanan dalam apa-apa juga bentuk dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan sebagai suatu perihal dagangan atau sebagai sebahagian daripada suatu perihal dagangan yang dipakai bagi makanan itu, perbahasaan-perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Makanan Islam’ atau apa-apa perbahasaan lain yang menunjukkan atau mungkin difahamkan sebagai menunjukkan bahawa orang-orang Islam adalah dibenarkan oleh agama mereka memakan makanan itu maka perbahasaan itu hendaklah mempunyai erti yang berikut, iaitu makanan yang berhubung dengan perbahasaan atau perbahasaan-perbahasaan itu digunakan:
  • bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh   Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;
  • tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak;
  • tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut   Hukum Syarak; dan
  • tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang   tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum  Syarak.
Ternyata di dalam definisi di atas, hanya orang-orang Islam yang tertakluk kepada makanan HALALAN TOYYIBAN.

Kucing atau haiwan lain tidak tertakluk kepada makanan HALAL.

Tetapi, kami amat memahami isu sebenar. Orang Islamlah kebanyakannya memelihara kucing dan menguruskan kucing dengan memegang makanan yang dikhuatiri bersumberkan khinzir itu, amatlah tidak konvenien.

Maka, disebabkan desas-desus makanan dari negara barat mengandungi sumber khinzir, maka keluarlah produk makanan kucing yang berstatus 'HALAL'.

Di mana status sebegini sedang mengelirukan pengguna. Apatah lagi, jika ikon pada peketnya berupa seorang doktor haiwan berhijab.

Kami meluangkan banyak masa meneliti produk-produk sebegini. Apa yang kami temui, kurangnya informasi tentang nutrisi dan bahan sebenar yang digunakan di dalam makanan kucing sebegini.

Ini tidak berlaku kepada makanan kucing premium yang diimport dari negara barat. Kerana di negara mereka telah mempunyai standard yang ditetapkan oleh AAFCO dan FDA. Makanan kucing komersial tidak laku di negara mereka, kerana mereka sudah aware akan side effect makanan sebegitu terhadap haiwan mereka.

Makanan kucing 'Halal' di pasaran kita pula kebanyakannya diperbuat dan dikilangkan di negara Thailand. Apakah prosedur Halal mereka seketat negara kita?

Jadi, apa masalahnya sekarang?
Masalahnya ialah jika benar, makanan kucing berlabel HALAL ini benar-benar HALAL, status Halalan Toyyibannya masih diragui.

Kerana tidak logik makanan kucing berharga murah mengandungi bahan terutama sumber protein yang baik. Sumber protein adalah sumber paling MAHAL di dunia.

Halal tidak lengkap tanpa Toyyiban. Makanan kucing berstatus 'Halal' ini banyaknya, menggunakan bahan-bahan 'terbuang' atau offals, contohnya hati, peparu, usus, kulit, perut dan sebagainya. 

Inilah contoh offals. Ia bermaksud tisu lembut atau organ haiwan selain daging. Bahan ini tetap mengandungi protein tetapi tidak sekualiti otot/ daging. Bahan-bahan seperti ini juga mudah rosak kerana fungsi mereka yang memproses dan menyimpan toksin serta menjadi tempat persinggahan bakteria.

Bahan bukan daging ini cepat rosak atau busuk. Maka, perlu ditambah bahan aditif di dalam pemprosesan makanan ini. Bahan aditif ini pula, kemikalnya tidak elok sekiranya dimakan dalam jangka masa panjang.

Kebanyakan bahan aditif ini adalah garam berMagnesium. Di sinilah, punca masalah kesihatan kucing timbul. Akan munculnya penyakit batu karang dan kegagalan fungsi buah pinggang. Itu belum lagi, masalah lain yang secara tidak langsung disebabkan kucing makan makanan 'murah' sebegini.

Ini adalah satu contoh kes kucing kencing berdarah di satu Vet di Singapura. Beginilah rupa air kencing seekor kucing yang mengalami batu karang. Ia amat memeritkan apabila melihat mereka menderita penyakit ini.

Apapun, kami mendengar satu berita baik dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar bahawa, selepas ini tiada makanan haiwan bersumberkan khinzir akan dibenarkan masuk ke Malaysia. Makanya, tiada isu makanan kucing tidak SUCI selepas ini, In shaa Allah.

Kami sangat berharap, coretan ini sangat bermanfaat dalam memberi pencerahan tentang makanan kucing Halal ini.

Bagi kami sebagai Doktor Haiwan, perkara ini sangat SERIUS. Kerana kami yang selalu menghadapi kes-kes berkaitan. Melihat kucing menderita akibat sesuatu yang boleh dielakkan pada asalnya, sangat memeritkan.

Dan sebab itu jugalah, kami di HVC tidak menjual makanan sebegini. Kami tidak rasakan ia mematuhi Syariah-compliant dan beretika.