Tuesday, June 4, 2013

Si Kecil Berdarah Manis


Dengan lafaz Bismillah dan Alhamdulillah, kami mulakan nukilan.

Kali ini, kami akan berkongsi kisah seekor anak kucing yang disangka kurap tetapi 'berdarah manis' dan sekarang kucing itu pun sudah selamat di'terbang'kan ke Sabah.

Kisahnya bermula begini;

Pada suatu hari, Cikpuan Dayana,pelajar sebuah institusi tinggi di bangi membawa seekor anak kucing, yang dinamakan Haruru.

Dayana memberitahu kami bahawa Haruru ini telah dia kutip di sebuah kedai makan. Warnanya hitam dan putih dan ketika itu berumur lebih kurang 2 bulan.

Setelah beberapa hari dibawa pulang, Dayana terperasan bahawa ada semacam keruping di telinga Haruru dan Haruru kerap menggaru. Maka, dia pun dibawa ke klinik haiwan terdekat untuk diberi rawatan.


Ini video yang kami rakamkan melalui mikroskop berkamera kami. Makhluk di dalam video ini merupakan hama kurap yang diperoleh daripada seekor arnab. Rupanya saling tak tumpah seperti hama kurap seekor kucing.

Setelah dua minggu didapati, keruping di telinga Haruru tidak hilang, malah semakin teruk. Ada pendarahan dan keruping itu tanggal dengan mudah mendedahkan isi cuping telinganya.

Dayana yang berasa risau dan prihatin tentang keadaan Haruru telah membawanya kepada kami untuk dirawat. Pada pengamatan kami, keadaan telinga Haruru bukanlah seperti kurap yang biasa. Ia membuatkan kami terfikir untuk melakukan pemeriksaan ekstra.

Beginilah caranya kami mengambil sampel pada kulit telinga Haruru. Jangan bimbang bila melihat mata pisau itu, kerana kami takkan mencederakan atau terpotong telinganya. Kami sudah dilatih mengambil sampel dengan cara yang betul.


Kami mengambil sampel pada telinga Haruru dan memeriksanya di bawah mikroskop. Apa yang kami dapati ialah, tidak terdapat hama kurap pada keruping telinga yang kami ambil. Maka, kurap di'buang' dari senarai diagnosis kami.

Setelah itu, kami tanya pada Dayana, apakah jenis makanan yang dia berikan kepada Haruru? Dia menjelaskan, Royal Canin Hair & Skin, memandangkan Haruru pernah dijangkiti kurap.

Inilah pakejing Royal canin Hair & Skin yang Haruru pernah makan. Pentingnya mendapatkan nasihat yang betul tentang pemakanan kucing anda, kan?

Tidak dinafikan, kandungan minyak omega di dalam makanan jenis ini baik untuk kesihatan kulit dan bulu kucing. Tetapi, kadarnya tak sesuai untuk anak kucing kecil.

Kami masih memerlukan lebih klu untuk kenalpasti punca masalah kulit telinganya, yang rupanya terdapat juga di bahagian kaki.

Lalu, kami pun mencadangkan agar Haruru melalui ujian darah & FIV dan FeLV serta surgeri mencuci luka. Memandangkan Dayana adalah seorang pelajar, kos memang menjadi satu masalah. Tetapi, Dayana yang pada mulanya keberatan, telah membuat keputusan bijak untuk teruskan dengan cadangan kami.



Alhamdulillah, setelah ujian darah dilakukan, Haruru bebas dari penyakit FIV dan FeLV. Tetapi, berita kurang baiknya, kandungan glukosa dalam darahnya adalah tinggi dari normal.
Beginilah rupanya test kit yang kami gunakan untuk memeriksa status FIV dan FeLV Haruru. Jenama test kit ini adalah yang disarankan oleh Cat Specialist dari Kanada, dan ia berstandard dunia.

Ini menjawab persoalan luka di telinga dan kakinya. Kandungan glukosa tinggi dalam darah menjadikan kulit rapuh serta kurang daya tahan dan mudah dijangkiti kuman.

Ini adalah kes pertama Diabetes yang kami temui berlaku kepada seekor anak kucing. kebiasaannya, Diabetes dihidap oleh kucing obes dan dewasa.  Maka, kami gelarnya juvenile diabetic patient.

Apa yang kami lakukan seterusnya:

Kami cadangkan Haruru untuk menukar diet yang lebih sesuai untuk umurnya, iaitu Royal canin Pediatric Growth ataupun Iams Kitten.

Dua makanan ini sangat sesuai untuk anak kucing kerana kandungan protein yang tinggi dan telah diformulasi khas untuk tumbesaran dan tenaga untuk anak kucing yang sedang membesar dan aktif. Tambahan lagi, kandungan kalsium yang cukup untuk pembentukan tulang dan fungsi otot yang baik.

Syukur sangat-sangat ke hadrat Illahi kerana, selepas seminggu, Haruru sembuh dengan pantas. Dia mula diberikan vaksin dan rejim pencegahan kutu dan cacing.

Namun, beberapa hari kemudian, Dayana mengkhabarkan kepada kami bahawa, dia akan membawa Haruru pulang ke Sabah, kampung halamannya. Sedih juga mengenangkan akan terpisah dengan pesakit comel ini.

Dayana meminta kami untuk menasihatinya tentang prosedur membawa Haruru ke Sabah.Kami pun mencadangkannya membuat Pet passport dan mengimplan microchip kepada Haruru.


Dayana menguruskan permit import eksport Haruru dengan baik sekali. Mengikut Dayana, dia mahu Haruru dimandulkan dengan kami. Tetapi, memandangkan tarikh pemandulan (10 hari selepas vaksinasi kedua) dan tarikh penerbangan terlampau dekat, kami cadangkannya untuk dimandulkan di Sabah.

Dari kiri atas, set suntikan microchip. Kiri bawah, microchip scanner. Kanan, Pet passport kerajaan Malaysia. Microcip penting untuk memberikan ID kepada haiwan. Selain kucing, arnab, kuda, anjing serta burung dan ikan arowana boleh diimplan microcip.

Ini penting kerana, selepas pemandulan, kucing akan stres beberapa hari. Mereka akan bertambah stres apabila melalui proses perjalanan yang panjang dan di luar kebiasaan. Kucing yang sangat stres mudah dijangkiti penyakit berbahaya.

Kami sangat terharu dengan penghargaan ini. Terima kasih Cikpuan Dayana, ada jodoh kita berjumpa lagi ya. Kirim salam peluk cium kami kepada Haruru dan sudikanlah menghantar gambar terbarunya kepada kami.


Jutaan terima kasih kepada Cikpuan Dayana kerana mempercayai kami untuk merawat Haruru dan tahniah kerana menjadi seorang pemilik kucing yang SANGAT bertanggungjawab. Semoga Cikpuan Dayana diberi kejayaan dunia dan akhirat.