Thursday, December 29, 2016

KUCING YANG DISALAHERTIKAN

Ini kisah Snowy, bukan nama sebenar.

Kucing yang kami serta penjaganya pernah salahertikan.

Snowy datang pertama kali berjumpa kami dengan sikap yang bengis, seperti singa kecil.

Tanpa kami berbuat apa, hanya memanggil namanya sahaja sudah membuatkannya marah semarahnya.

Hampir sahaja kuku Snowy terbenam di kulit muka doktor veterinar yang cuba memeriksanya.

Snowy ada luka. Luka yang dibuatnya sendiri. Kulit yang dijilat tak berhenti.

Tak pasti samada puncanya psikologi atau memang abnormaliti.

Snowy langsung tak mahu langsung dipegang oleh kami. Mamanya sahaja yang mampu memegangnya dan memujuknya.

Doktor kata Snowy mungkin terasa sangat gatal, lalu menjilat hingga luka kulitnya. Doktor mahu suntik ubat tahan gatal.

Snowy masih tak mahu dipegang oleh kami. Akhirnya, Mamanya pegangkannya supaya Doktor boleh beri suntikan.

Misi berjaya! Tanpa ada drama.

Tapi....

Selang beberapa minit, Mamanya cuba pujuk Snowy.

Snowy mengganas dan terus membenamkan giginya ke dalam tangan si Mama.

Menitis darah dari tangan Mama yang sudah berlubang kesan gigi Snowy dan lukanya agak dalam.

Pucat lesi Mama Snowy menahan kesakitan.

Sah Si Snowy ini kucing gila. Mungkin akibat terlalu manja.

Selang beberapa minggu kemudian....

Snowy jatuh sakit, enggan makan sudah benerapa hari.

Pucat lesi dan kekuningan. Masih garang dalam keadaan lemah,

Doktor cadangkan untuk wadkan Snowy dan diberikan rawatan intensif.

Bertungkus-lumuslah Doktor Veterinar dan tim melakukan segala prosedur ke atas Snowy.

Ambil sampel darah, pasang drip, potong kukunya yang panjang, serta pasangkan E collar sebagai langkah keselamatan.

Darah yang dikumpul langsung digunakan untuk melakukan diagnostik.

Darah kurang.
Demam kuning.
Hati rosak.
Toxoplasma POSITIF!

Doktor tak menyangka sama sekali Snowy Toxoplasma positif.

Maka, menjawablah persoalan kenapa Snowy menjadi kucing gila.

Toxoplasma ini kuman yang mampu menyerang sel otak.

Pada Snowy, kuman ini mungkin lebih sukakan sel otak di pusat emosi, atau nama lainnya amygdala, berbanding sel otak yang mengawal oergerakan.

Kerana kebanyakan kucing lain yang Toxoplasma positif selalunya mempunyai masalah pergerakan, berjalan terumbang ambing, kepala asyik 'berzikir'.

Selepas rawatan spesifik, Snowy semakin pulih. Tiada lagi episod tantrum dan bertukar menjadi singa kecil.

Segala-galanya berubah 180 darjah. Snowy menjadi sangat manja.

Tidak pernah lagi menggila.

Snowy sudah menjadi kucing biasa yang disayangi semua.