Wednesday, January 4, 2017

DISANGKA MASALAH KULIT, RUPANYA.....

Assalam wbt semua.

Hari ni kami ingin kongsikan kisah seorang catparent dan kucingnya Nikki (bukan nama sebenar).

Apa istimewanya kisah ni?

******************************************************

Samada kita sedar atau tidak, sekarang ini banyak berlambak produk berkaitan bulu kucing di pasaran.

Nampaknya, masalah bulu gugur pada kucing ni sesuatu yang sangat penting dan utama di kalangan catparents di Malaysia.

Tapi, adakah bila bulu kucing kita banyak gugur, masalah sebenar kucing tu pada kulit dan bulunya?

Ikuti kisah Nikki ini untuk menjawab persoalan di atas.

Jangan biarkan dirimu dibelenggu misteri bulu kucing gugur

****************************************************

Satu petang, saat di luar mendung menunggu hujan membasahi bumi di musim tengkujuh, telefon klinik HoneyVets Cat Medical Centre berdering.

"Hello, assalamualaikum. Boleh saya bantu?", PR klinik menjawab panggilan.

"Saya nak bawa kucing saya untuk grooming, lion cut", terdengar suara seorang wanita di seberang sana.

"Boleh saya tahu kenapa Cikpuan mahu grooming kucing Cikpuan lion cut?"
Seperti biasa, tim kami akan cuba mengenal pasti masalah sebenar sebelum meberikan penyelesaian.

"Kucing saya ni ada masalah bulu gugur"

"Owh, kalau macam tu seeloknya Cikpuan bawa kucing untuk thorough check up dulu. Mungkin grooming lion cut tak menyelesaikan masalah kulit kucing tu"

Tak lama kemudian, PR klinik mengatur appointment Cikpuan tadi bersama Vet klinik.

**************************************************

Hari yang dinanti sudah tiba.

Hari di mana Nikki akan diperiksa dari hujung telinga ke hujung ekor.

Hari di mana kebenaran akan terungkai.

Masuk sahaja Nikki ke dalam bilik pemeriksaan, Vet sudah nampak yang bulu Nikki tak tumbuh sekata di seluruh badan.

Ada bahagian yang bulunya pendek, ada bahagian yang bulunya panjang.

Kulit Nikki juga kelihatan kemerahan. Seluruh badan.

Sambil melakukan pemeriksaan di 14 poin pada Nikki, Vet bertanya bermacam soalan bagi mengetahui sejarah perubatan Nikki.

Rupanya, Nikki mengalami masalah kulit dari awal tahun 2016 dan diagnos sebagai Fungus.

Rawatan berkesan tetapi mengambil masa yang lama, dan Nikki juga terpaksa berjumpa Vet beberapa kali untuk mendapatkan suntikan Fungus. Hmmmm..

Apa yang memeranjatkan, berat Nikki turun mendadak dari 2 bulan sebelumnya. Turun hampir 2 kg.

Untuk manusia, amatlah seronok boleh slim down secepat itu. Untuk kucing, ia menandakan bahaya.

Ternyatalah bahawa, masalah Nikki ini adalah lebih dari sekadar masalah kulit. Ini masalah dalaman.

Mari tengok gambar di bawah untuk lebih faham apa kemungkinan masalah Nikki.

Kami guna konsep sama untuk jelaskan kepada Mama Nikki.

Kebanyakan masalah kucing bukan straight forward.

Kenapa?

Sebab kucing tu sendiri pun sifatnya bukan straight forward.

Bila kucing sakit, dia tak akan cuba bagitau kita. Bahkan mereka cuba pula untuk sedaya upaya sembunyikan dari kita.

Apa yang kita nampak luaran, mungkin bukan masalah sebenar kucing tersebut.

Contohnya, macam Nikkilah.

Memang nyata dan bersuluh, Nikki ada masalah kulit gatal-gatal, bulu banyak sangat gugur sampai ada tempat yang botak, dan kulitnya senang dapat jangkitan.

Tapi, persoalannya. Apa yang menyebabkan semua ini?
Kenapa rawatan sebelum-sebelum ini tak berkesan sepenuhnya?

Yang lebih penting, kenapa berat Nikki turun mendadak?

Maka, dengan itu kita dapat agak yang Nikki bukan sekadar ada masalah kulit. Bahkan, lebih dari itu.

Nikki mungkin menghidap penyakit yang tersenarai pada dasar iceberg yang tenggelam di dalam air laut tu.

Seperti juga kapten kapal Titanic, dia hanya nampak luaran iceberg sahaja dan menganggap iceberg itu kecil dan kapalnya boleh melepasi iceberg itu tanpa ada masalah.

Hakikatnya, iceberg itu lebih besar dan ada penjuru-penjuru yang tajam. Kapten akan hanya boleh melihat dasar iceberg dengan menggunakan teropong khas yang terletak di dasar kapalnya. Betul?

Jadi, sebagai Vet, kami juga ada 'teropong' untuk mengetahui apa masalah sebenar Nikki.

***************************************************
Dari tujuh perkara tersenarai pada dasar iceberg di atas, 
Nikki ada 2 dia antaranya.

Apa masalah tu dan macam mana kami tahu?

Kita cerita kemudian lah ya.
Apa yang berlaku kepada Nikki sangat membimbangkan. Sebenarnya. bila-bila masa sahaja Nikki boleh collapse dan bertambah teruk.

Bila-bila sahaja Nikki boleh lumpuh, kejang dan sawan.

Dan, kami telah pun cuba sebaiknya untuk menstabilkan Nikki.

Alhamdulillah Nikki respon kepada rawatan yang diberi dan sekarang tugas Mama Nikki untuk pastikan Nikki terus sihat di rumah dengan ikut nasihat penjagaan yang dah disarankan.

******************************************************
Apa yang 'teropong' kami jumpa pada dasar iceberg Nikki?

Kami jumpa Nikki ada;
~ kencing manis
~ positif virus FIP

Nikki dipuasakan selama 8 jam sebelum kami ambil darahnya.

Bacaan gula Nikki ialah 27!
Ini bacaan tertinggi kami pernah jumpa.

Dengan bacaan gula sebegini, Nikki boleh rebah bila-bila masa.
Ditambah pula, Nikki adalah penghidap FIP.

Patutlah masalah kulit Nikki datang dan pergi. Dan, tak begitu respon kepada rawatan.

Siapa yang menghidap kencing manis atau mempunyai pengalaman menjaga orang yang menghidap kencing manis pasti lebih memahami keadaan Nikki, kan?

Jadi, apa pengajaran dari kisah Nikki?

Semoga perkongsian kisah Nikki pada kali ini menambah info di dada catparents yang lain, serta ambil iktibar yang sepatutnya.

Bila kita mahu selesaikan masalah, kita sepatutnya berusaha menjadi seperti sharp shooter, dan bukannya cowboy shooter.

Sekian.