Thursday, May 30, 2013

Gila Gembira Dan Syukur.

Kami mulakan coretan kali ini dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini kami bersyukur kerana keluarga kami dari Kuching, Sarawak datang mengunjungi kami. Lusa, kami akan memperoleh ahli keluarga baru, kerana adik kami bakal diijabkabulkan.

Dua perkara ini sungguh menggembirakan. Tetapi, di saat diselubungi kegembiraan, Allah SWt datangkan ujian. Semasa sedang menunggu ketibaan ayahanda, anakanda kami, Hamzah didapati hilang.

Setelah sejam puas mencari, dengan pertolongan mantap daripada pegawai dan polis KLIA, akhirnya seorang jurujual kedai coklat menjumpainya. Saat itu, hanya perkataan syukur yang terucap dimulut. Tak tergambar perasaan lega dan gembiranya kami dapat bertemu dia kembali.

Farouq (kiri), si Abang yang mendengar kata dan Hamzah (kiri) si adik yang sangat berani.

Hamzah memang seorang kanak-kanak aktif, bijak dan sangat berani. Dia tidak langsung menangis semasa berjauhan dengan kami, malahan ceria. Ini diceritakan sendiri oleh wanita yang menjumpainya.

Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tak langsung semasa proses mencari Hamzah. Sungguh, budi kalian tidak terbalas oleh kami. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

Disebabkan rasa syukur dan gembira yang menggila ini, kami ingin memberikan sesuatu kepada pelanggan-pelanggan kami.

Esok, Jumaat bersamaan 31 May 2013, kami ingin mengadakan 'SALE GILER' di Petshop kami. Diskaun barangan petshop sehingga 10% merangkumi rangkaian makanan IAMS dan Royal canin Vet Diet, pasir kucing dan beberapa supplement.

Berikut adalah gambat HOT ITEM untuk 'SALE GILER' kami esok.

IAMS Cat Adult 15kg perisa ayam. Makanan kegemaran kucing-kucing kami yang menjimatkan. 15 Pawprint Points, boleh ditebus di http://my.dhkspets.com/index.php?n=information/howtoredeem. Antara barangan menarik yang boleh ditebus dengan pembelian satu beg ialah kolar kucing berwarna-warni dan cawan pengukur makanan.
Harga asal RM222. Harga promosi RM200/ beg.

IAMS Kitten 9.0+ kg perisa ayam. Makanan kegemaran anak-anak kucing kami yang menjimatkan dan sangat bernutrisi. 10 Pawprint Points, boleh ditebus di http://my.dhkspets.com/index.php?n=information/howtoredeem.
Harga asal RM162. Harga promosi RM150/ beg.




IAMS Healthy Natural 2.72 kg perisa salmon. Juga makanan kegemaran  kucing-kucing kami yang menjimatkan dan menjadikan najis mereka sangat kurang berbau. 5 Pawprint Points, boleh ditebus di http://my.dhkspets.com/index.php?n=information/howtoredeem.
Harga asal RM67. Harga promosi RM62/ beg. Diskaun tambahan RM5 untuk setiap beg, menjadikannya hanya RM57.



Royal Canin Pediatric Weaning 400g ini sangat sesuai untuk anak kucing yang berumur sebulan hingga 4 bulan kerana kandungannya seakan susu ibunya.. Tiada lagi masalah anak kucing susah belajar makan makanan pejal kerana saiz mini kibblesnya sangat menepati saiz mulut anak kucing kecil. Juga tiada masalah anak kucing tercekik kerana, kibbles yang mudah dikunyah dan dihadam. Sesuai juga untuk ibu kucing yang mengandung. Menyerupai RC Babycat, tetapi mempunayi lebih baik kandungannya.
Harga asal RM22/beg. Harga promosi, RM50/kilo.


Royal Canin Pediatric Weaning 400g ini sangat sesuai untuk anak kucing yang berumur 4 bulan dan ke atas kerana kandungannya diselarikan dengan tenaga untuk tumbesaran mereka. Diet ini adalah kesinambungan untuk RC Pediatric Weaning. Anak kucing akan sihat, gebu bak juara kerana mendapat nutrisi yang tepat dan terbaik.
Harga asal RM22/beg. Harga promosi, RM50/kilo.

Inginkan bulu kucing yang gebu? Inilah suplemennya yang paling sesuai. Kami sangat sarankannya. Mempercepatkan pemulihan kulit yang rosak akibat jangkitan kurap dan fungus. Juga, mengurangkan insiden muntah-muntah pada kucing akibat bebola rambut (kucing tak perlu lagi memakan rumput yang belum tentu selamat semata-mata untuk memuntahkan bebola rambutnya).
10% Diskaun online dan offline.



Bukan hanya item-item di dalam gambar-gambar di atas sahaja yang diberi diskaun. Ada banyak item lain lagi termasuk yang terpapar di online shop kami di http://octopo.st/honeypetshoppe3717 diberikan diskaun sebanyak 10%.  Dengan syarat, pembayaran dilakukan sebelum 12 tengah malam.



Begitu juga tiket untuk ke Seminar Cat Grooming DIY kami yang akan berlangsung 15 Jun nanti. Juga diberi diskaun 10%. Hanya 10 7 tempat sahaja lagi.



Terbaru, kami telah berjaya memformulasi disinfektan khas untuk haiwan yang selamat, sangat berkesan (aktif membunuh bakteria, virus dan fungus) serta tiada bau tengik seperti Clorox, yang dapat menyahkan bau yang sangat tak menyenangkan (hancing dan meloyakan) daripada haiwan anda.



Harga promosi untuk sebotol (90ml+) disinfektan yang sangat berkesan ini, ialah RM10 sahaja. Hanya yang cepat akan dapat. Anda tak mungkin beralih kepada disinfektan yang lama setelah mencuba produk 'killer' kami ini.



Kepada klien yang membawa kucing kesayangannya untuk vaksin dan surgeri pemandulan esok hari, kami akan berikan FREE GIFT. Untuk esok sahaja, Jumaat 31 Mei 2013.



Kami harap dengan usaha kami berkongsi kegembiraan dan kesyukuran kami ini, ramai yang mendapat manfaat. Hanya kepada yang merebutnya sahaja. Kami cuma mahu ramai lagi yang gembira.



Prof. Muhaya pernah berkata dalam satu siri videonya, hanya orang yang ada akan memberi. Dan orang yang suka memberi, akan rasa bahagia.



Semoga kita semua di dalam kalangan orang-orang yang bahagia dunia akhirat. Amin.






Friday, May 24, 2013

Ilmu Untuk Dikongsi.


Dengan izin Allah SWT, kami menulis lagi.

Ilmu itu untuk dikongsi.
Siapa setuju pernyataan ini?

Kami mula merasakan penatnya berkongsi secara one to one setelah hampir 3 tahun berkhidmat di atas kaki sendiri. Atau dengan kata lain, memberi konsultasi secara personal setiap hari semasa bertugas bersama klien.

 Itupun, perkara yang dapat dibincangkan adalah terhad kepada isu berbangkit saat itu sahaja. Contohnya, jika kucing datang dengan masalah kulit, kami perlu fokuskan perbincangan tentang isu itu dan bukan isu lain seperti vaksin dan cacing.


Di saat konsultasi sebegini, masa adalah sangat terhad untuk Vet berkongsi banyak perkara, terutama tentang program-program pencegahan penyakit.


Masa di bilik konsultasi, masa adalah terhad. Ini kerana pada masa itu, fokusnya adalah menyelesaikan masalah berbangkit atau complaint daripada klien. Lagipun, perlu beri laluan kepada klien lain yang sedang menunggu giliran.

Sedangkan terlalu banyak hal ehwal kesihatan kucing dan haiwan lain yang perlu dikongsi. Terlalu banyak perkara tentang kesihatan kucing dan pengurusan mereka, yang perlu kami kongsikan supaya kucing dan pemiliknya sejahtera.

Sejahtera di sini bermaksud,kucing sihat dan pemiliknya bahagia, selamat dunia dan akhirat In Shaa Allah, kerana dapat elakkan menganiaya kucing tersebut tanpa sedar, dengan ilmu  yang betul.

Akhirnya, kami mula membuat keputusan untuk mengadakan seminar, majlis ilmu di mana kami dapat berkongsi mengenai penjagaan kucing dengan berkesan, menjimatkan tenaga, masa dan wang pemiliknya untuk jangka panjang.

Walaupun pada mulanya, kami agak segan kerana umur setahun jagung kami di dalam industri ini, namun dengan berpegang kepada kata-kata mentor kami, 'apa gunanya beratus tahun pengalaman, tetapi tidak mahu dikongsikan. Hilang peluang mengumpul saham akhirat', kami beranikan diri jua..

Maka, lahirlah seminar sulung kami pada Januari lepas, Seminar CATCARE. Alhamdulillah, sambutan daripada peminat khcing berdedikasi dan komited adalah menggalakkan. Seramai hampir 30 peserta yang hadir.

Seminar sulung kami, Seminar CATCARE yang berlangsung Januari lepas. Ini gambar kenangan bersama peserta-peserta (tak semua) yang hadir.

Kami kongsikan 7 asas penjagaan kucing supaya pemilik mampu menjimatkan masa, tenaga dan wang dalam menguruskan kucing kesayangan mereka. Terutama yang memiliki banyak kucing.

Semua yang kami kongsikan adalah berdasarkan pengalaman kami sendiri yang memiliki 7 ekor kucing, juga pengalaman klien-klien kami sepanjang 5 tahun memegang tanggungjawab ini.

Kami percaya setiap pekerjaan, ada tanggungjawab mendidik masyarakat. Tugas sebagai doktor haiwan ini, bukan setakat merawat, tetapi juga mendidik supaya penyakit boleh dicegah.

"Mencegah Itu Lebih Baik Dari Mengubati".

Prinsip ini kami pegang sampai mati. Kami rasa sangat bahagia bila peserta berkongsi rasa gembira mereka, setelah menghadiri Seminar ini. Lebih membahagiakan apabila, mereka bertindak dengan ilmu yang telah diperoleh dan merasai sendiri nikmat kesannya.

Antaranya, kucing jarang sakit, semakin gebu dan mudah diurus. Bagi kami, alangkah baiknya jika wang yang dibelanjakan untuk bil rawatan yang tinggi dapat disalurkan untuk pencegahan penyakit, makanan yang baik dan seimbang serta tempat tinggal kucing yang kondusif.

Biarlah perbelanjaan itu bermanfaat untuk kucing dan pemiliknya untuk jangka panjang. Lagipun, tak semestinya dengan mengeluarkan kos perubatan yang tinggi, kucing itu pulih seperti sediakala seperti sebelum sakit.

Contohnya, dalam kes saluran kencing tersumbat akibat batu karang, kesan dari diberi diet yang tinggi kandungan garam. Walaupun, saluran kencing tak lagi sumbat, tetapi akibat kronik,buah pinggang juga menjadi rosak.

Ini sangat menyedihkan, kerana kucing tersebut dan pemiliknya akan berhadapan dengan kualiti hidup yang menurun selepas ini. Kos maintenance kucing tersebut meninggi, serta memerlukan perhatian yang ekstra daripada pemiliknya. Ini juga akan melibatkan emotional drain kepada keduanya.

Seminar kedua kami, Seminar CATCARE 2.0 pula melibatkan unsur keagamaan sedikit. Kami ingin membawa konsep menyayangi kucing berinspirasikan Rasulullah SAW, nabi junjungan kita.

Seminar CATCARE 2.0 yang berlangsung Mac lepas. Dr Johaimi sedang memberi penerangan tentang poin yang diekstrak daripada program Fattabiouni.

Kadang-kadang kita sebagai Muslimin dan Muslimat, terlupa bahawa kucing bukan sekadar hobi, tetapi amanah. Kucing pembawa rezeki di dalam hidup kita, sejajar dengan Hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut, 'kucing adalah kekayaan rumah'.

Tetapi, sering kita lihat kucing dibuang di kaki lima, pasar dan restoran. Kami sedar ramai yang buntu apabila berlaku lambakan kucing di rumah yang tak terkawal. Jadi, kami pasti dengan izin Allah, perkongsian kami bakal menyelesaikannya.

Dan tanpa disangka, seminar yang diadakan pada bulan Mac lepas, bukan sahaja menyaksikan perkongsian kami sahaja, malah daripada para peserta jua. Kami telah belajar sesuatu yang bermakna pada hari tersebut.

Kucing kesayangan, walau sayangnya kita pada mereka, kita elakkan sesekali mengabaikanNya. Jika kucing yang paling disayang itu ditimpa musibah, maka Allah SWT sedang menarik kita kembali mementingkanNya.

Jutaan terima kasih kepada Cikgu S, kerana sudi berkongsi kisah sedih tetapi begitu berkesan di hati kami. Cikgu S merupakan klien setia kami, yang tidak pernah lokek mengeluarkan wang untuk yang terbaik buat kucing-kucingnya dan juga kucing terbiar.

Beliau sering berkongsi cerita yang beliau mendapat durian runtuh, hampir setiap kali selepas menyelamatkan kucing jalanan atau kucing sendiri tanpa berkira soal kewangan. MashaAllah, sungguh Allah bayar cash kepada hambaNya yang ikhlas menggalas amanahNya.

In Shaa Allah, 1 hari sahaja lagi, Seminar ketiga kami akan muncul. Kali ini berkenaan teknik mudah lagi berkesan merapi dan mendandan kucing. Pemilik mampu lakukannya sendiri di rumah dengan mudah dan jimat masa serta wang. Dengan syarat,dengan ilmu yang betul.

InshaaAllah, mohon doa kalian agar Seminar berjalan lancar dan para hadirin nanti mendapat manfaat maksimum daripada perkongsian kami nanti.

^_*






Monday, May 20, 2013

Diskriminasi Kucing Kampung.


Dengan nama Allah, kami mulakan coretan berharga ini.

Namun, sebelum memulakannya, kami ingin sekali memohon maaf andai coretan ini bakal mengguris hati sesiapa yang terasa.

Semoga coretan ini mampu membuka mata dan hati kita semua dengan izin Allah SWT.

Kami terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana kami sentap dengan beberapa skrip berbunyi;

"Alah, ini kucing kampung sahaja, perlukah diberi ubat cacing?"

"Kucing ini kucing kampung, tak perlu divaksin. Mereka kuat"


Ini kucing kampung yang malang nasibnya. Kotor, busuk dan hodoh. Tapi, adakah adil jika ia didiskriminasikan dan hanya layak tinggal di jalanan?
-Gambar ihsan google.com-


Dua skrip di atas adalah beberapa contoh kata-kata diskriminasi yang dilemparkan ke atas kucing kampung.

Mahukah kita jika, kita ini orang kampung dan orang bandar mengeluarkan skrip seperti;

" Alah, mereka orang kampung, tidak perlulah disediakan klinik."

"Mereka orang kampung, apa perlunya disediakan jalan, elektrik, air dan kemudahan lain."


Lihat kanak-kanak orang asli ini, ya mereka tak secanggih kita di bandar. Adakah ini bermakna mereka tak layak menerima program kesihatan sama seperti kanak-kanak bandar?
-Gambar ihsan google.com-


Adakah hanya kanak-kanak yang terdedah dengan arus kemodenan yang layak menerima program kesihatan terbaik di negara ini?
-Gambar ihsan google.com-


Walaupun kami bukan orang kampung tulen, tetapi hati kami sedikit sebanyak terguris mendengar skrip sebegini.

Allah itu Maha Adil. Pasti Dia amat murka dengan hambaNya yang mengamalkan sikap diskriminasi. Betul?

Adakah kita suka didiskriminasikan tentang sesuatu yang kita tak minta?


Adakah hanya kucing-kucing cantik sebegini, yang gebu, bersih berbaka tulen, yang memenangi cat show yang hanya layak mendapat yang terbaik?
-Gambar ihsan google.com-

Pencinta kucing sebenar, mampu menyayangi semua kucing mereka ataupun bukan tanpa mengira rupa, baka, asal-usul dan sentiasa ingin berikan yang terbaik.

Andai kita suka bersikap diskriminasi terhadap kucing, tak mustahil suatu hari kita akan menjadi mangsa diskriminasi juga.

Penyakit yang menghinggapi kucing pun tak diskriminasi terhadap mangsa mereka. Mereka serang sahaja semua kucing, asalkan mereka boleh hidup.

Sama juga seperti manusia, bakteria, kutu dan virus jarang sekali 'pilih bulu' bila mahu menjangkiti manusia. Mereka tidak pilih hanya menjangkiti Mat Salleh, orang asli, artis Bollywood sahaja, tetapi orang biasa-biasa pun boleh dijangkiti AIDS.

Kami seru peminat dan pencinta kucing tegar semua, supaya hentikan diskriminasi terhadap kucing kampung.

Kasihanilah mereka, mereka tidak minta dilahirkan sebegitu.

Tetapi, mereka berhak untuk mendapat rawatan yang sama seperti kucing berbaka yang selalu didambakan itu.

Lagipun, jika kita terjangkit cacing pita tak kiralah samada dari kucing kampung atau kucing Parsi, bahayanya tetap sama.

Kepada yang Muslim terutamanya, bayangkan sahaja jika Rasulullah SAW dikalangan kita. Adakah baginda gembira dengan sikap diskriminasi kita ini terhadap kucing kampung.

Kucing baginda sendiri bernama Muezza tak pernah dikatakan kucing berbaka cantik dan gebu. 

Jom kita contohi cara Baginda Rasulullah SAW sayangkan kucing.
In shaa Allah.




Saturday, May 18, 2013

Kucing BerSAKA.

Bismillah, dengan izin Allah SWT kami menulis pertama kalinya dengan menggunakan tablet.

Pertama-tama, ingin kami ucapkan terima kasih kepada klien kami, iaitu bapa kepada Cikpuan Azanisha kerana memberikan cetusan idea bagi coretan kali ini.

Kisahnya bermula apabila mereka datang ke HONEY Veterinary Clinic untuk membuka jahitan kucing mereka bernama Bu dan membawa Che Lu pula untuk dimandulkan.

Si ayah menceritakan pengalamannya memandikan kucing mereka. Sedang menjiruskan air ke badan kucing, dia terkejut melihat air yang mengalir berwarna kemerahan.

Lalu terdetiklah dalam hatinya sambil rasa agak panik, "kucing ini ada SAKAkah?"

Agak-agak Tuan dan Cikpuanlah, apa yang sebenarnya sedang berlaku?

**********************************
Daftar Kelas Cat Grooming 23 Januari 2016 (Sabtu) ini di bawah




**********************************



Pernah anda lihat kotoran seperti ini di badan kucing anda? Gambar ini bukan hakmilik kami, ia hasil capaian google.com.

Inilah yang dinamakan flea dirt atau dalam bahasa Malaysianya, najis kutu. Pasti ada diantara anda yang fikir ini adalah kotoran seperti tanah,pasir atau tar mungkin.


Tapi, inilah realtinya. Dek kerana kotoran ini, kucing seperti berSAKA. Dek kotoran ini, air yang dijirus ke atas badan kucing menjadikan air yang mengalir darinya merah menyala.

Ini kerana, kotoran ini mengandungi pigmen darah. Seperti kita sedia maklum, kutu atau spesifiknya pinjal kucing adalah serangga pemakan darah. Oleh itu, najisnya juga mengandungi komponen darah.

Lihat gambar di bawah ini.
(Gambar ihsan capaian google.com).




Perhatikan di kiri gambar, dapat kita lihat seekor pinjal di situ.
Perhatikanlh,  bahagian tengah dan kanan gambar. Terdapat banyak bintik-bintik merah dan bulu kucing ini basah.

Sebenarnya, kucing ini mengalami jangkitan pinjal yang teruk. Maka, Frontline Spray telah disembur keseluruhan badannya. Lalu, menjadikan bulunya basah dan bintik merah muncul.

Sebenarnya, bintik merah itu adalah hasil flea dirt yang basah. Cuba bayangkan pula jika kucing ini dijirus dengan air, apa terjadi?

Boleh bayangkan?

Kucing mana ada SAKA. Tetapi, disangka berSAKA apabila terlampau teruk dijangkiti pinjal dan lambat dirawat.

Apa penyelesaiannya?

Memandikan TIDAK membunuh pinjal dengan berkesan. Sekalipun dimandikan dengan Syampu Berubat. Ia hanya kalis kutu selama maksimum pun 3 hari sahaja.

Jadi, apa yang berkesan?

Gunakanlah ubat kutu, seperti contoh Frontline, Revolution dan Advocate. In Shaa Allah, boleh bertahan sebulan lamanya.

AMARAN: Dapatkan nasihat Doktor Haiwan sebelum penggunaan ubat kutu. Dikhuatiri membawa maut jika tersalah penggunaan.

BONUS!

Gambar Ngeri Pinjal.


Wajah pinjal di bawah kacamata mikroskop. Dizoom untuk lebih kengerian.

AMARAN: Kutu ini boleh menyebabkan kegatalan yang amat sangat kepada kucing dan manusia, sehingga menjadi GILA menggaru.

Ini gambar bayi pinjal yang dinamakan Larva. Perhatikan isi perutnya yang merah menyala. Larva pinjal tidak makan darah kucing secara terus, tetapi ia makan najis ibubapanya yang jatuh ke bumi, di dalam debu-debu rumah & dicelah karpet.

'Pembersih'kan mereka? Itulah pentingnya mengawal pinjal ini pada kucing dan juga persekitaran rumah.



Alhamdulillah. Sekian nukilan berSAKA  kali ini.